Kira-kira 100 individu yang mewakili pelbagai parti politik, NGO dan gabungan hadir dalam mesyuarat tergempar mempertahankan kedaulatan Islam di Wangsa Maju di Kuala Lumpur, malam semalam.

Pada mesyuarat itu, pendakwah terkenal, Firdaus Wong Wai Hung dilantik sebagai pengerusi dan mesyuarat juga mencapai satu persetujuan untuk menubuhkan Sekretariat Muslim mempertahankan kedaulatan Islam di Malaysia.

Selain itu, menurut hantaran Firdaus di Facebook, berkata satu tindakan awal akan diputuskan oleh sekretariat tersebut Selasa depan dan pengumuman akan dilakukan oleh semua wakil parti dan NGO yang terlibat kepada ahli mereka serta menerusi media sosial.

“Mesyuarat mencapai satu persetujuan yang sangat penting iaitu sebulat suara bersetuju menubuhkan satu sekretariat yang mewakili lebih 1,000 parti & NGOi dengan jumlah keahlian melebihi 1.5juta orang bersama sekretariat ini. Alhamdulilah.

“Insya-Allah sahabat semua yang bukannya ahli mana-mana parti dan NGOi juga boleh terlibat dan bersama mendaulatkan Islam di tanah air tercinta ini.

“Doakan sekretariat ini terus teguh dan mengetepikan perbezaan kita demi mendaulatkan Islam. Allahuma Ameen,” katanya.

Sebelum ini, beberapa individu, parti dan NGO mendakwa dasar negara yang diterajui kerajaan Pakatan Harapan tidak lagi melindungi agama Islam dan Melayu tetapi sebaliknya menuju kepada sekularisme total.

Sebagai contoh, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, sebelum ini berkata ini boleh dilihat dengan semakin ramai yang mempertikaikan dasar-dasar itu secara terbuka sehingga Melayu dan Islam kini berada di persimpangan.

Semalam, Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tidak sampai 100 hari HARAPAN memerintah, pemimpin mereka banyak menyentuh isu fundamental negara, agama, perlembagaan dan tadbir urus.

Sejak membentuk kerajaan pada 9 Mei lalu, HARAPAN berdepan beberapa tuduhan pembangkang yang didakwa tidak menghormati perlembagaan.

Antaranya isu membabitkan bekas ahli Penasihat Kerajaan, Datuk A Kadir Jasin yang didakwa menghina Institusi diraja apabila mengkritik perbelanjaan Yang di-Pertuan Agong.

Selepas menerima kecaman, Kadir meletakkan jawatannya sebagai Ketua Media dan Komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan dan mengatakan langkah itu dibuat bagi mengelak kekeliruan di kalangan masyarakat.

Selain itu, isu membabitkan bahasa Melayu turut menjadi modal kepada pembangkang untuk menyerang dasar kerajaan berikutan tindakan menteri kewangan, Lim Guan Eng mengeluarkan kenyataan media tambahan dalam bahasa Cina.

Bagaimanapun, Lim menegaskan bahawa beliau tetap mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Terbaru, tindakan peguam negara, Tommy Thomas yang mahu menggunakan bahasa Inggeris ketika sidang media di mahkamah, turut menerima kritikan hebat sama ada oleh Umno mahupun PAS.

Tindakan beberapa pemimpin DAP yang menuntut Tun Dr Mahathir Mohamad supaya mengusir pendakwah Islam, Dr Zakir Naik juga cukup mengguriskan perasaan umat Islam.

Sementara itu, isu membabitkan agama sekali lagi memanaskan suhu politik negara apabila bekas menteri penerangan, Tan Sri Zainuddin Maidin menggesa agar sekolah tahfiz ditutup.