Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Azmin: S'pura setuju tangguh HSR tanpa pampasan

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin mengesahkan projek Kereta Api Kelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) ditangguhkan.

Beliau berkata berdasarkan persetujuan dengan kerajaan Singapura, projek itu akan disambung semula untuk satu tempoh yang akan ditetapkan kedua-dua pihak nanti.

“Kerajaan Singapura telah bersetuju untuk menerima pandangan daripada kerajaan Malaysia untuk menangguhkan projek ini sehingga satu tempoh (yang belum ditetapkan) kerana dalam tempoh tersebut kita yakin ekonomi Malaysia akan kembali pulih.

“Tidak ada pampasan yang perlu dibayar dalam tempoh penangguhan projek,” katanya kepada pemberita di DUN Selangor, hari ini.

Terdahulu, Malaysia berdepan kemungkinan membayar pampasan RM500 juta jika tetap memutuskan untuk membatalkan projek itu.

Namun Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kemudian berkata projek itu tidak dibatalkan tetapi ditangguhkan.

Rundingan untuk syarat-syarat baru projek itu telah bermula sejak awal bulan ini.

Pada minggu lalu, Azmin mengadakan pertemuan dengan Menteri Pengangkutan Singapura, Khaw Boon Wan untuk membincangkan perkara itu.

Mengulas lanjut, Azmin berkata Malaysia hanya akan dikenakan denda jika masih gagal meneruskan projek selepas tempoh penangguhan tamat.

"Ia hanya perlu dibayar sekiranya tempoh penangguhan itu tamat, yang mana tempoh berkenan akan ditetapkan kemudian dan kita membatalkan projek tersebut," katanya yang juga anggota parlimen Gombak.

Sementara ia ditangguh, katanya, Malaysia akan berbincang dengan Singapura berhubung kaedah untuk mengurangkan kos HSR yang sebelum ini dianggarkan boleh mencecah RM110 bilion.

Beliau bagaimanapun yakin projek itu akan diteruskan nanti memandangkan manfaatnya kepada kedua-dua negara.

Lihat Komen
ADS