Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
SPRM jangan buat-buat tak tahu, kata Ramkarpal
Diterbitkan:  Sep 3, 2018 5:45 PM
Dikemaskini: 10:35 AM

SPRM tidak boleh mendakwa pihaknya tidak tahu-menahu tentang pengguguran dua pendakwaan rasuah Lim Guan Eng, kata anggota parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

Ini kerana pegawai pendakwa SPRM sendiri yang memberitahu mahkamah untuk menarika balik dakwaan terbabit, katanya yang juga peguam kepada Lim.

Ramkarpal berkata beliau ada di mahkamah pagi ini bersama-sama peguam Lim dan ahli perniagaan Phang Li Koon serta pengarah bahagian pendakwaan SPRM Mohd Masri Daud.

"Tiada sebarang tanda tidak puas hati yang ditunjukkan Masri atau pasukannya," katanya dalam kenyataan.

Beliau mengulas kenyataan SPRM hari ini yang menyatakan suruhanjaya itu "amat terkejut" dengan keputusan Mahkamah Tinggi George Town menggugurkan pendakwaan terhadap Lim dan Phang.

SPRM juga menegaskan keputusan itu dibuat pejabat peguam negara dan bukan pihaknya.

Bekas ketua menteri Pulau Pinang itu dibebaskan daripada dua dakwaan rasuah berhubung dakwaan penukaran status tanah daripada zon tanah kepada zon perumahan dan pembelian sebuah banglo bawah harga pasaran.

Keputusan itu selepas pejabat peguam negara menerima hujah balas daripada peguam mereka.

'Hak untuk bebaskan Lim, Phang'

Ramkarpal berkata, hakim membuat keputusan yang betul dan konsisten dengan trend mutakhir.

"Hakim yang bijaksana menggunakan kuasa yang ada dengan memerintahkan pembebasan itu dan bukan dilepaskan tanpa dibebaskan," katanya, sambil menambah hakim tidak membuat kesilapan apatah lagi selepas pihak pendakwaan tidak mahu meneruskan kes.

Beliau membangkitkan pembebasan Pengerusi Eksekutif National Feedlot Corporation Sdn Bhd, Datuk Seri Mohd Salleh Ismail pada 2015 untuk dua tuduhan pecah amanah, selepas pendakwaan memberitahu mahkamah tidak mahu meneruskan kes itu.

"Dalam kes ini, Lim dan Phang memberikan hujah terperinci dan meluas kepada peguam negara berhubung mengapa dakwaan perlu ditarik balik, yang telah diambil kira sebelum hari ini," katanya lagi.

Menurut Ramkarpal, kenyataan SPRM menunjukkan Masri tidak tahu akan keputusan pejabat peguam negara itu.

"Tiada apa yang mengejutkan dengan keputusan itu kerana tiada siapa yang patut dibiarkan dengan kemungkinan didakwa pada masa akan datang ekoran perintah dilepaskan tanpa dibebaskan, terutama selepas ada petanda jelas yang pihak pendakwaan mahu menggugurkan pendakwaan.

"Ini adalah persoalan asas dan sangat mengecewakan apabila SPRM gagal memahaminya," katanya.

Justeru, beliau menggesa Masri untuk menjelaskan keadaan dan mengakui beliau memang tahu tentang keputusan itu.
 

Lihat Komen
ADS