Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lim: Wang 1MDB dari S'pura hanya bahagian kecil dari jumlah sebenar
Diterbitkan:  Sep 10, 2018 6:03 PM
Dikemaskini: 10:21 AM

Wang berjumlah RM45.9 juta yang akan dipulangkan Singapura kepada Malaysia hanyalah sebahagian kecil daripada jumlah sebenar dana berkaitan 1MDB yang mahu diambil semula oleh Malaysia, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Beliau berharap pemulangan itu menjadi langkah permulaan bagi usaha kerajaan mendapatkan semula wang yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

"Kami mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Singapura yang meluluskan pengembalian wang 1MDB dengan jumlah RM45.9 juta kepada negara.

"Saya harap ini adalah permulaan. Ini kerana jumlah itu adalah sebahagian kecil daripada jumlah sebenar wang berkaitan 1MDB yang (perlu) dipulangkan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut laporan, wang tersebut akan dipindahkan ke akaun bank pemulihan khas 1MDB di Kuala Lumpur.

Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) berjanji untuk menuntut semula aset berkaitan 1MDB di luar negara dan baru-baru ini berjaya mendapatkan kembali kapal pesiar mewah Equanimity - yang didakwa dibeli menggunakan wang 1MDB - daripada kerajaan Indonesia.

Singapura antara negara yang mengambil tindakan undang-undang terhadap skandal 1MDB.

Negara itu telah mendakwa dan menjatuhkan hukuman penjara 54 bulan terhadap bekas pegawai bank BSI Singapura Yeo Jiawei atas kesalahan pengubahan wang haram dan penipuan berkaitan 1MDB.

Selain Singapura, dana berkaitan 1MDB turut dilaporkan dibekukan di Luxemburg dengan jumlah kira-kira RM415 juta (AS$100 juta) dan dirampas Switzerland berjumlah RM430 juta.

Lim turut menyatakan penghargaan terhadap Peguam Negara Tommy Thomas dan berkata usahanya untuk mendapatkan semula wang itu telah membuahkan hasil.

Julai lalu, Thomas meluluskan pelantikan firma guaman Tetuan Tan Rajah & Cheah - yang berpangkalan di Singapura - untuk memfailkan permohonan di mahkamah Singapura terhadap 53 defendan bagi mendapatkan perintah untuk mendapatkan semula wang milik 1MDB.

Ahli perniagaan Low Taek Jho, atau Jho Low, dilaporkan salah seorang daripada 53 defendan itu.

Lihat Komen
ADS