Semenjak penubuhannya pada 1999, Majlis Akhbar Indonesia yang bebas telah mencapai beberapa perkara penting yang menyumbang kepada kemajuan perkembangan media di republik itu.

Bercakap pada majlis perbincangan di parlimen hari ini, bekas CEO Majalah Tempo, sebuah terbitan mingguan kewartawanan penyiasatan Indonesia, Bambang Harymurti berkata majlis akhbar itu ditubuhkan di bawah reformasi undang-undang media.

Menurut Bambang, majis akhbar adalah platfom yang,"murah, mudah dan cekap" untuk menyelesaikan pertikaian melibatkan media.

"Sekiranya akhbar itu salah, maka penyelesaian adalah mereka akan memohon maaf. Ia cepat dan tanpa bayaran," kata Bambang dalam majlis anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Kebangsaan Malaysia (Suhakam) dan Pertubuhan Saintifik dan Kebudayaan, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco).

"Saya teringat zaman dahulu, apabila kami dibanjiri dengan begitu banyak aduan dan ramai wartawan yang berakhir di mahkamah," kata Bambang yang merupakan timbalan pengerusi majlis akhbar itu selama dua tahun antara 2006 dan 2013.

Pada ketika itu, bekas ketua pengarang Tempo berkenaan berkata majlis akhbar berjaya mengurangkan jumlah siasatan polis dan kes mahkamah yang melibatkan wartawan, kerana mereka menggesa pihak berkuasa untuk berunding dengan pakar mereka sebelum memutuskan sama ada mahu meneruskan kes atau tidak.

500 kes setahun diterima Majlis Akhbar Indonesia

Bagi kes-kes terhadap wartawan yang berakhir di mahkamah, Bambang berkata majlis itu akan memberikan saksi pakar untuk memberi keterangan bagi pihak tertuduh.

"Ini berkesan untuk membebaskan beberapa wartawan," katanya.

Rata-rata, Bambang berkata majlis itu kini menerima kira-kira 500 kes setahun, dan kebanyakannya biasanya diselesaikan dengan cara yang baik melalui timbang tara dengan pihak yang berselisih.

Beliau menjelaskan bagi menjaga kebebasan majlis akhbar itu, ia telah memutuskan untuk bebas daripada campur tangan kerajaan dan pengerusinya akan dilantik daripada kalangan tokoh yang dihormati dari luar industri media.

"Kami ada bekas hakim dan bekas rektor universiti sebagai pengerusi majlis akhbar," katanya, sambil memaklumkan mantan presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pernah memfailkan aduan yang kemudiannya diselesaikan oleh majlis itu.

"Salah satu senjata terbaik yang diberikan oleh undang-undang itu kepada kami di bawah majlis akhbar adalah peruntukan yang menyebut sesiapa yang didapati bersalah melanggar kebebasan akhbar boleh dipenjarakan sehingga dua tahun atau didenda sebanyak 500 juta rupiah.

"Beberapa orang telah dipenjarakan kerana mereka melanggar kebebasan akhbar," kata Bambang.

Sementara itu, penasihat media kepada kerajaan, Datuk Abdul Kadir Jasin (gambar) mengatakan pentadbiran Pakatan Harapan tidak memberikan apa-apa arahan kepada media sejak ia mengambil alih kuasa.

"Saya telah bertanya para editor media jika mereka menerima sebarang panggilan. Mereka berkata tidak.

"Kerajaan mengatakan mereka tidak akan mengawal media dan mereka tetap berpegang pada kata-kata ini," kata Kadir.

Malaysia pernah mengambil langkah untuk membentuk majlis media tetapi Kadir berkata draf undang-undangnya tidak pernah dibentangkan di parlimen berikutan bantahan daripada editor yang mahu Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 dan sekatan undang-undang yang lain dihapuskan.

"Kini (sekali lagi) kami sedang di tengah-tengah pembentukan majlis media.

"Tanggapan yang saya dapat daripada pihak kementerian, pendirian mereka adalah kerajaan mahu majlis akhbar ditubuhkan secepat mungkin," katanya.

[Baca berita penuh]