Hari ke-3 PRK PD: Anwar jawab Hadi, ahli MIC kempen untuk Isa Samad
RANGKUMAN PRK PD | Calon pilihan raya kecil (PRK) Port Dickson masing-masing dilihat menyedari kepentingan sokongan pengundi India yang merupakan 22 peratus dari komposisi pengundi parlimen itu.
Begitu juga dengan penyokong masing-masing yang menyedari perlunya menarik sokongan pengundi India sebanyak mungkin.
Beberapa anggota MIC hari ini menyatakan hasrat berkempen untuk bekas menteri besar Negeri Sembilan Tan Sri Mohd Isa Samad.
Mohd Isa kini bertanding sebagai calon bebas setelah keluar Umno.
Menurut salah seorang anggota MIC yang terlibat, mereka berkempen untuk bekas pemimpin Umno itu atas kapasiti individu dan berjanji tidak akan menggunakan logo MIC atau memakai baju BN.
Port Dickson merupakan kerusi tradisi MIC sejak 1974.
Bagaimanapun, presidennya, Tan Sri SA Vigneswaran sebelum ini mengumumkan partinya tidak akan mengambil bahagian pada PRK berkenaan yang kini masuk hari ketiga berkempen.

Langkah MIC itu seiring dengan keputusan BN memboikot PRK Port Dickson yang diadakan pada 13 Oktober depan.
Sementara itu, dalam program Ceramah Perdana DUN Sri Tanjung, semalam, bekas naib presiden MIC Datuk S Sothinathan yang kini berkempen untuk Anwar, menyifatkan warga Port Dickson bertuah.
Ini kerana, katanya, tidak banyak kawasan yang mempunyai perdana menteri sebagai wakil rakyat.
Sothinathan menang dalam PRK Teluk Kemang pada 2000 dan menjadi anggota parlimen sehinggalah tewas kepada PKR pada 2008.
Beliau yang pernah menjadi timbalan menteri sumber asli dan alam sekitar itu mengambil keputusan untuk keluar MIC pada Ogos lalu.
Hadi kritik Anwar
Sementara itu, dalam ceramah perdana pertama di Teluk Kemang semalam, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengkritik Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan mempersoalkan alasan presiden PKR itu tidak bertanding di kawasan majoriti Muslim.
Hadi juga menyifatkan Anwar sebagai seorang yang "tidak konsisten" dan berkata Anwar akan menunjukkan sisi keagamaan apabila berada di masjid dan menari ketika bersama masyarakat India.
"Kita ada budaya sendiri. Masyarakat Tamil akan menghormati kita jika kita berpendirian," katanya lagi.

Kawasan Parlimen Port Dickson merangkumi 43 peratus pengundi Melayu, 33 peratus pengundi Cina dan 22 peratus pengundi India.
Mengulas kritikan itu, Anwar berkata anggota PAS sendiri pernah mengikutnya menyertai program di kuil ketika era Pakatan Rakyat.
"Dulu ketika saya pergi (ke program di kuil) semasa Pakatan Rakyat (masih ada), boleh. Sekarang tak boleh.
"Ahli PAS juga ikut saya (ke program di kuil) dulu," katanya.
Anwar enggan layan tuduhan liwat III
Anwar, yang giat mengadakan program kempen, enggan melayan tuduhan liwat terbaru yang dilemparkan terhadapnya.
“Sudahlah. Sudah lebih 20 tahun saya difitnah dengan pelbagai perkara.
“Jadi Lokman pun sudahlah, cari modal lain,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama PRK Port Dickson, hari ini.
Anwar merujuk catatan Facebook Anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam yang mendakwa bahawa Mediacorp Singapura melaporkan seorang pelajar Indonesia membuat laporan polis di Singapura bahawa dia telah diliwat oleh Anwar.
Mediacorp kemudian mengeluarkan penafian menjadi sumber laporan berkenaan dan menyifatkannya sebagai berita palsu. Mereka juga memaklumkan kepada Lokman supaya menurunkan berita itu.
Menurut syarikat itu, pihak berkuasa Singapura juga menafikan wujudnya laporan polis berkenaan.
Hantaran itu kemudian dipadamkan dan Lokman menjelaskan bahawa artikel tersebut tidak diterbitkan oleh Mediacorp.
Dalam satu program berasingan hari ini pula, di hadapan kira-kira 200 hadirin, Anwar berkata penyokongnya di Permatang Pauh menangis apabila mengetahui beliau tidak akan bertanding di kawasan mereka.
Tambah Anwar, beliau sudah menjelaskan kepada mereka bahawa meskipun kini perlu mengutamakan Port Dickson, Permatang Pauh tidak pernah jauh dari hatinya.

Saiful mulakan kempen
Seorang lagi calon bebas PRK Port Dickson, Saiful Bukhari Azlan memulakan kempennya hari ini.
Saiful memberitahu Malaysiakini bahawa program pertamanya adalah bertemu pemimpin tempatan di kawasan Bagan Pinang.
Selain Saiful, Anwar, dan Mohd Isa, PRK Port Dickson akan menyaksikan empat lagi calon yang akan bertanding.
Mereka ialah calon PAS Left. Kol (B) Nazari Mokhtar; dan tiga calon bebas lain; Stevie Chan Keng Leong, Kan Chee Yuen dan Lau Seck Yan.
PRK Port Dickson diadakan selepas penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah mengosongkan kerusi untuk memberi laluan kepada Anwar kembali ke Dewan Rakyat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 13 Oktober ini sebagai hari mengundi manakala 9 Oktober sebagai hari pengundian awal.
PAS meletakkan Left. Kol (B) Nazari Mokhtar sebagai calonnya.

