Berita Malaysiakini

Kit Siang gesa laporan CEP dibentang di parlimen agar rakyat 'sedia berjimat'

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Anggota Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang menggesa agar laporan Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dibentangkan sebagai kertas putih di parlimen agar rakyat dapat memahami dan bersedia berdepan krisis yang dihadapi negara.

Lim berkata demikian dengan merujuk kenyataan pengerusi CEP, Tun Daim Zainuddin dalam temu bual Soal Rakyat yang disiarkan di televisyen 6 Sept lalu.

Dalam temu bual itu, Daim berkata kerajaan perlu tunjukkan keadaan sebenar dan berterus terang berhubung hutang negara yang dikatakan mencecah RM1 trilion.

Dalam kenyataan media hari ini, Lim juga memetik kenyataan Daim yang memberi gambaran negara akan mengambil masa yang lebih panjang untuk mencapai negara maju susulan situasi kewangan yang dihadapi kerajaan ketika ini.

"Masalah yang dinyatakan oleh Daim adalah serius, dan keseriusan masalah ini perlu didedahkan kepada orang awam agar rakyat Malaysia boleh faham kenapa negara sedang melalui kepayahan dari segi kewangan dan agar rakyat boleh bersedia berjimat serta berkorban dalam masa terdekat untuk berdepan krisis negara yang disebabkan pentadbiran kleptokratik sebelum ini," katanya.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad pada 27 Ogos lalu berkata, laporan disediakan oleh CEP mungkin tidak didedahkan kepada orang ramai.

Pakar ekonomi yang juga salah seorang anggota majlis berkenaan, Jomo Kwame Sundaram turut menyokong agar laporan itu kekal sulit.

Bagaimanapun, beberapa pihak termasuk Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim menggesa agar laporan itu didedahkan kepada umum.

Sementara itu dalam kenyataan sama hari ini, Lim turut menyentuh berhubung kenyataan bekas presiden Badan Peguam Malaysia Datuk Ambiga Sreenevasan yang tidak bersetuju dengan cadangan Dr Mahathir agar pelantikan hakim melalui parlimen sebelum dihantar ke Yang di-Pertuan Agong.

"Jawatankuasa Pemilihan Parlimen ke atas Pembaharuan Institusi merupakan ruang yang sesuai untuk mengkaji sistem baru dalam pelantikan hakim bagi memastikan doktrin pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman dikekalkan dan kedaulatan undang-undang ditegakkan dalam kehakiman Malaysia," kata Lim.

Ambiga sebelum ini menggesa Dr Mahathir mempertimbangkan semula cadangan agar pelantikan hakim diletakkan di bawah kawalan parlimen dan sebaliknya menegaskan agar Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) perlu diperkukuhkan sebagai badan berperlembagaan.

Ini kerana, kata pengerusi Persatuan Hak Asasi Manusia Kebangsaan itu, pelantikan kehakiman perlu bebas daripada sebarang campur tangan.