Naib Ketua Pemuda Umno Seputeh Datuk Razlan Rafii menggesa kerajaan untuk berani mengambil tindakan terhadap syarikat pemaju dalam isu rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.

Razlan berkata kerajaan perlu menyelesaikan isu itu secara telus dan bijaksana serta tanpa tunduk kepada pihak kapitalis.

"Kerajaan kena lebih berani menangkap dan siasat pemilik One City Development Sdn Bhd dan menjadikan pekerja dan syarikat peguam sebagai saksi, bukan sebaliknya.

"Jika isu ini terjadi di ular negara, sudah tentu saham syarikat ini merudum dan dicerca sehingga dibawa ke muka pengadilan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, kerajaan perlu mengenal pasti punca sebenar masalah yang berlaku, tanpa mengecualikan syarikat pemaju kerana mereka adalah pemilik tanah di situ.

"Jenayah sudah terjadi, keadilan mesti ditegakkan dengan menyiasat pemilik syarikat.

"Jangan hanya tangkap pekerja atau peguam, sedangkan jerung sebenar terlepas," katanya lagi.

Setakat ini 30 individu dilaporkan telah ditahan berkaitan isu itu, antaranya tiga pekerja One City Development dan seorang "peguam" yang didakwa mengupah samseng untuk menyerang kuil itu Isnin lalu.

Ketua Polis Negara Mohamad Fuzi Harun kemudian berkata peguam itu bertindak sebagai penasihat syarikat.

One City Development menafikan pihaknya mengupah atau membenarkan pengunaan samseng dalam usaha mereka memindahkan kuil itu.

Ia merupakan anak syarikat MCT Bhd. Pemegang saham terbesar MCT, Ayala Corporation yang berpangkalan di Filipina, telah menyatakan komitmen untuk memberi kerjasama penuh dengan siasatan pihak berkuasa.