Paling Popular
Terkini

Sebelum dikenali ramai sebagai seorang menteri, sudah bermacam kisah dilalui Dr Maszlee Malik untuk berjaya sampai ke peringkat ini.

Mungkin tidak ramai yang tahu semasa zaman remaja menteri pendidikan itu perlu berusaha sendiri mencari wang untuk menampung keperluan harian.

Justeru beliau menjual kerepek, muruku dan kurma sebagai sumber pendapatan.

Maszlee berkata ketika itu dia tinggal bersama ibu saudaranya.

Rutin harian ketika itu kata Maszlee, ialah mengambil kerepek secara pukal daripada pembekal, belajar dan kemudian menghantar jualannya ke kantin dan asrama sekolah.

"Sebelum itu saya dapat tawaran melanjutkan pelajaran di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), tapi saya tolak sebab nak belajar pengajian Arab," katanya.

Menceritakan pengalaman lalu itu hari ini Maszlee yang juga anggota parlimen Simpang Renggam berkata dia berniaga pada waktu pagi sebelum belajar agama pada tengah hari.

Komputer mahal macam beg tangan

“Bayangkan - saya pakai serban dan jubah, kemudian pergi ambil muruku dari keluarga India.

"Apabila sampai di situ, mereka terkejut. Apa pak lebai ni datang rumah aku?” ceritanya sambil ketawa.

Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa itu berkata demikian semasa menyampaikan ucapan pada sesi penyampaian surat pelantikan anggota Majlis Keusahawanan Pendidikan Tinggi Nasional (MKPTN) di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengimbau lagi kisah zaman dulu, Maszlee berkata kesemua barang jualan itu diambil dengan menaiki motor Honda C70 dan bungkusan muruku yang dibawa pula lebih besar daripada dirinya.

Gambar fail

"Apabila malam, saya habiskan masa dua jam untuk belajar, manakala masa selebihnya saya bungkus semula muruku itu dengan bungkusan lebih kecil.

“Pada awal pagi, saya edar di kantin, kedai runcit dan asrama sekolah,” katanya.

Bagaimanapun Maszlee berkata jualan muruku, kerepek dan kurmanya tidak lama apabila dia mendapat tawaran biasiswa daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pelajaran ke Jordan.

Sesampainya di Jordan, katanya, dia melihat harga komputer riba di negara itu agak mahal.

Malah secara bergurau Maszlee berkata harga komputer riba pada awal 1990-an itu seperti kos sebuah beg tangan berjenama Bijan.


Baca Maszlee: Bahasa Melayu mesti dimartabat


Keadaan itu, katanya, menyebabkan datang ilham untuk kembali berniaga.

Caranya, dia mencari bekalan dari tempat lain yang lebih murah.

Laptop (komputer riba) di Malaysia murah berbanding di negara Arab tapi saya ada tawaran lebih murah dari Singapura.

"Jadi saya ambil empat lima laptop di Singapura, jual di Jordan, dan (daripada keuntungan itu) bolehlah balik (Malaysia) setiap kali cuti semester,” katanya ketawa.

Maszlee dengan nada seloroh turut berkata, jika peniagaan itu diteruskan maka beliau mungkin setanding ahli perniagaan tersohor dunia, Jack Ma.

Menurut Maszlee berdasarkan peluang yang ada daripada perniagaan bidang itu boleh dikembangkan dalam kalangan pelajar melalui kerjasama MPKTN dan Kementerian Pendidikan.

“Saya rasa anak-anak kita di institusi pengajian tinggi bernaib baik kerana diajar ilmu peniagaan.

"Persoalannya adakah (ilmu itu) diamalkan? Kita perlukan bantuan orang yang dah berjaya untuk bantu anak-anak kita.

Lihat Komen
ADS