Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Takkan Lokman 'bongap' macam tu, kata Khairy
Diterbitkan:  Dec 19, 2018 12:50 PM
Dikemaskini: 4:54 AM

Khairy Jamaluddin Abu Bakar sekali lagi mempersendakan salah seorang anggota Majlis Tertinggi Umno hari ini.

Memang dikenali selalu 'menyergah' Lokman Noor Adam, tengah hari ini Khairy secara menyindir menegur Malaysiakini supaya tidak menyebarkan "berita palsu".

Laporan yang dirujuk bekas menteri belia dan sukan itu ialah berkenaan kenyataan dibuat Lokman hari ini.

Kata Lokman selepas Ahmad Zahid Hamidi berundur daripada tugas sebagai presiden, tokoh yang layak mengisi tempat itu ialah Najib Razak.

"Dalam situasi kritikal begini, Umno perlu khidmat seorang pemimpin yang berpengalaman dan dihormati oleh anggota-anggota parlimen BN yang masih belum melompat

"Atas dasar itu, selaku anggota Majlis Tertinggi Umno saya mencadangkan agar presiden Umno melantik Najib Razak sebagai ketua umum Umno dan ketua pembangkang, sementara presiden Umno bercuti," kata Lokman dalam satu kenyataan hari ini.

Menjawap ciapan Malaysiakini, Khairy yang sebelum ini pernah menjadi ketua Pemuda Umno berkata tidak ada orang yang akan memberi cadangan "bingai" seperti itu.

"Saya yakin @LokmanAdam pun tak bongap macam ni. Eh," ciapnya.

 

Untuk rekod Lokman adalah antara pemimpin Umno yang sering menganjurkan himpunan solidariti buat Najib dan Zahid setiap kali mereka ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Untuk rekod Najib ialah presiden pertama Umno yang gagal mendapatkan mandat daripada rakyat untuk kekal menjadi kerajaan.

Selepas berundur daripada jawatan itu kekosongan jawatan presiden diisi Ahmad Zahid pula.

Gesaan Lokman tersebut hadir beberapa jam selepas Ahmad Zahid menyerahkan tugas sebagai presiden Umno kepada timbalannya Mohamad Hasan.

Untuk rekod Mohamad ialah bekas menteri besar Negeri Sembilan. Khairy pula anggota parlimen Rembau yang berada dalam Negeri Sembilan.

Setakat ini belum pernah Umno membuat lantikan mana-mana pemimpinnya menjadi ketua umum, sebaliknya pernah diberikan kepada Anwar Ibrahim untuk PKR.

Sebelum ini Lokman pernah menjadi salah seorang penceramah terkenal untuk PKR sebelum dia meninggalkan parti berkenaan dan menyertai Umno.

Lihat Komen
ADS