'Kritikan terbuka sesama pemimpin PH bawa akibat buruk'
Pengarah Strategi Bersatu, Dr Rais Hussin Mohamed Ariff mengingatkan pemimpin Pakatan Harapan (PH) bahawa kritikan terbuka sesama sendiri mampu membawa akibat buruk kepada PH.
Justeru, beliau menggesa agar pemimpin PH mengenepikan ego masing-masing dan memberikan tumpuan untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Saya tak kisah tentang politik, yang saya kisahkan ialah ahli politik.
“Adegan tuduh-menuduh yang berterusan dan sikap ‘menembak kawan sendiri’ di kalangan PH boleh menyebabkan akibat buruk (kepada PH).
“Kita boleh berbeza pandangan, tetapi perbezaan itu perlulah diraikan. Tetapi mengkritik sesama sendiri secara terbuka adalah tindakan yang sangat kebudak-budakan!” ciapnya di Twitter.
Sepanjang minggu lalu, beberapa pemimpin PH dilihat sering berbalas kritikan, dan yang terbaru melibatkan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy dan Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Ramasamy mengkritik tindakan menteri belia dan sukan itu yang menyokong gesaan Pemuda Bersatu agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P Waythamoorthy meletakkan jawatan.
Kedua-duanya saling berbalas serangan melalui media, dengan Syed Saddiq mempertahankan haknya untuk bersuara sementara Ramasamy pula menuntut Syed Saddiq mengemukakan bukti dakwaan bahawa Waythamoorthy memainkan peranan dalam mencetuskan rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya.
Untuk rekod, Ketua Pemuda Amanah Terengganu Hasbie Muda turut menyatakan tuntutan agara Waythamoorthy untuk digantikan dengan Nurul Izzah Anwar daripada PKR.
'Zon bebas ego’
Sementara itu, hari ini, Khairuddin Abu Hassan yang merupakan penyokong kuat Dr Mahathir Mohamad, mendakwa ada komplot untuk menggulingkan perdana menteri.
Dalam kenyataan medianya, meskipun tidak menyebut secara spesifik, Khairuddin yang merupakan Ahli Jawatankuasa Komunikasi dan Mobiliti Pakatan Harapan (PH) dipercayai berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Pengerusi PKR Kedah, Johari Abdul.
Johari sebelum ini menggesa Mahathir agar berhenti bermain isu Najib Razak sebagai 'pencuri' kerana bekas Perdana Menteri itu sudah dihadapkan ke mahkamah.
PKR juga tidak teduh daripada kontroversi, apabila Latheefa Koya secara terbuka membidas kepimpinan parti berhubung pelantikan beberapa pengerusi PKR di peringkat negeri.
Susulan kenyataan Latheefa, Nurul Izzah meletakkan jawatan sebagai naib presiden PKR dan Hassan Abdul Karim menolak pelantikan sebagai pengerusi PKR Johor.
Kenyataan Latheefa itu juga mendorong anggota PKR bahagian Klang dan Indera Mahkota membuat aduan kepada lembaga disiplin parti dengan menyfatkan kenyataan Latheefa sebagai memburukkan reputasi Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Justeru, Rais dalam ciapannya berharap agar pemimpin PH memasuki ‘zon bebas ego’ dan menunjukkan kekuatan mereka dalam berdepan dengan masalah sebenar berbanding bercakaran sesama sendiri.
“Sekarang adalah masa semua pemimpin untuk masuk ke zon bebas-ego dan fokus terhadap apa yang rakyat perlukan berbanding menarik perhatian (yang tidak sepatutnya) kepada diri sendiri dan kumpulan.
“Ya! Zon bebas ego! Tunjukkan kekuatan dan kesungguhan dalam menangani masalah sebenar yang dihadapi oleh rakyat, bukannya menegakkan hujah untuk menonjolkan diri sendiri!” tegasnya lagi.

