'Apapun terjadi pada karier politik, saya tetap julang prinsip'
Ketua Pemuda Bersatu, Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini menegaskan beliau akan berpegang kepada prinsip walaupun ia akan menjejaskan karier politiknya.
"Sebab utama saya menyertai dunia politik untuk membersihkan politik.
"Walau apapun terjadi kepada karier politik saya, pendirian tegas prinsip tetap harus dijulang.
"Tak guna masuk dan menjawat jawatan yang tinggi tetapi akhirnya melupakan asal perjuangan yang menyebabkan saya menyertai dunia politik," katanya ketika ditemui di Stadium Hoki Nasional di Bukit Jalil.
Kenyataan itu dibuat selepas kontroversi yang tercetus semasa perhimpunan agung tahunan Bersat, hujung minggu lalu.
Pada perhimpunan tersebut, Syed Saddiq membidas perwakilan Wilayah Persekutuan, Mohd Shahni Ismail kerana meminta kontrak dan jawatan kerajaan, yang turut didakwa dijanjikan oleh seorang menteri.
Tidak lama selepas ucapan itu, Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Abdul Rahman berkata adalah "bodoh" jika pimpinan Bersatu tidak menggunakan sumber kerajaan untuk kekal berkuasa.
Bagaimanapun, Pemuda Bersatu kemudian tampil mengecam Rashid dan mempertahankan pendirian ketua mereka.
Keadaan itu menjadi semakin tegang apabila ada ketua-ketua bahagian berang dengan ucapan Syed Saddiq, bahkan berbincang tentang usaha untuk menyingkirkannya.
Syed Saddiq hari ini berkata, kepimpinan tertinggi Bersatu turut senada dengan pendirian sayap pemuda itu bahawa anggota parti tidak boleh menggunakan sumber kerajaan walaupun demi kebaikan parti.
Katanya, selain Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad - yang mengeluarkan kenyataan tegas mengenai perkara itu - presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan timbalannya Mukhriz Mahathir juga bersetuju dengan pendirian sayap pemuda.
"Tun Dr Mahathir semalam dah keluarkan satu kenyataan yang agak tegas, pada masa yang sama pagi tadi perbincangan bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Mukhriz Mahathir juga bersetuju dengan pandangan Armada," jelasnya.
Budaya politik baru
Mahathir semalam berkata kenyataan kontroversi Rashid tidak mewakili pendirian Bersatu dan hanya pandangan peribadi.
Syed Saddiq berkata kenyataan daripada pemimpin tertinggi Bersatu menunjukkan pendirian mereka sejajar dengan Armada yang ingin melihat budaya politik baru dalam 'Malaysia Baru'.
"Saya rasa dalam bab ini pimpinan tertinggi bersama dengan kami yang menunjukkan bahawa kita nakkan budaya politik yang baru di mana politik naungan mesti dihentikan," katanya.
Syed Saddiq berkata, meskipun beliau menghormati pandangan pemimpin-pemimpin bahagian Bersatu yang lain, namun beliau harus berpegang kepada prinsip.
"Itu hak mereka untuk bersuara tetapi saya akan terus berjuang demi masa depan negara yang paling penting sekali," katanya.
Ditanya sama ada isu kontrak itu dibawa dalam mesyuarat kabinet hari ini, Syed Saddiq berkata "tidak dibawa hari ini kerana ada banyak isu lain yang perlu dibincangkan".

