Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tunggu esok, Insya-Allah, ia hak presiden, kata Ramli

PRK Cameron l Bekas pegawai polis Orang Asli paling tinggi dalam sejarah negara, Ramli Mohd Noor memilih untuk mengunci mulut daripada mengulas tentang spekulasi bahawa dirinya mungkin menjadi calon pertaruhan BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands pada 26 Januari ini.

Katanya, terpulang kepada timbalan presiden Umno yang menjalankan tugas presiden, Mohamad Hasan untuk menentukan siapa yang akan bertanding di kerusi parlimen tersebut.

BN dijangka mengumumkan calonnya, pagi esok di subuah hotel di Kuala Lumpur.

“Tunggu esok, Insya-Allah. Ia hak pemangku presiden Umno untuk membuat kenyataan media tentang siapa yang menjadi calon.

“Buat masa sekarang, saya tak ada hak untuk komen tentang isu ini. Keputusan adalah hak presiden.

"Saya akan komen jika dinamakan sebagai calon,” kata bekas penolong pesuruhjaya polis berusia 61 tahun itu.

Ramli memiliki Sarjana Pentadbiran Awam dari University of East London.

Beliau bersara pada Oktober tahun lalu daripada jawatan terakhirnya sebagai timbalan pengarah jabatan jenayah komersil persekutuan di Bukit Aman.

Ramli adalah penduduk tempatan dari suku Semai, yang membentuk sebahagian besar daripada 22 peratus pengundi Orang Asli di kerusi parlimen itu.

Semalam, Malaysiakini melaporkan MIC tidak akan bertanding di kerusi tradisionalnya itu dan akan menyerahkan kepimpinan BN untuk menentukan calonnya.

Pada PRU lalu, naib presiden MIC C Sivarraajh memenangi kerusi itu dalam pertandingan lima penjuru, mengatasi M Manogaran dari DAP dengan kelebihan kira-kira 600 undi.

 November lalu, Mahkamah Pilihan Raya membatalkan keputusan itu atasan alasan berlaku amalan rasuah dan memutuskan bahawa pilihan raya diadakan semula.

Pakatan Harapan telah menamakan Manogaran sebagai calonnya.

[Baca berita asal] 

Lihat Komen
ADS