Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mohon PH jangan 'lacurkan' Yadim, kata Zamihan
Diterbitkan:  Jan 30, 2019 1:41 PM
Dikemaskini: 5:41 AM

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zain mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak 'melacurkan' institusi agama Islam demi kepentingan politik.

"Apa sudah jadi dengan Malaysia Baru? Malaysia baru atau Malaysia celaru. Tak habis-habis institusi agama Islam dimangsakan oleh pentadbiran kerajaan Malaysia Baru.

"Kali ini giliran Yadim (Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia) pula menjadi mangsa kerakusan pemimpin politik PH.

“Amat malang apabila Yadim sebagai agensi dakwah dijadikan alat politik parti tertentu," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pentadbiran PH jauh lebih teruk jika dibandingkan kerajaan BN dahulu.

"Apakah sudah tidak ada lagi golongan profesional ataupun agamawan di luar sana untuk menerajui Yadim?" soalnya.

Katanya, apakah hanya tokoh-tokoh tertentu yang memakai baju politik Amanah dan DAP saja yang benar-benar layak dan Islamik? Ataupun mereka itu sebenarnya merupakan kroni pihak tertentu yang perlu diberi ghanimah (imbuhan) selepas berjaya merampas Putrajaya.

"Mohon jangan ‘lacurkan’ Yadim demi kepentingan politik dan tolong jangan pergunakan Yadim bagi tujuan kepentingan peribadi.

“Tidak pernah terjadi dalam sejarah negara apabila peringkat atasan Yadim dimonopoli hampir keseluruhannya oleh orang politik," katanya.

Ketua Pemuda Umno, Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang juga pernah dilantik sebagai yang dipertua Yadim, turut mempersoalkan pelantikan ahli lembaga pemegang amanah badan itu yang didakwa diberi keutamaan kepada ahli-ahli politik PH.

Dalam pada itu, Zamihan turut mengecam pelantikan Adun Paloh, Johor Sheikh Omar Ali sebagai anggota lembaga yang juga adalah anggota DAP.

Walaupun, pelantikan Sheik Omar dipertahankan oleh Dr Mujahid Yusof, Menteri yang ditugaskan menjaga hal ehwal Islam sebagai berdasarkan kelayakan dimilikinya, Zamihan menolak kenyataannya itu.

Katanya, tidak pernah terjadi dalam sejarah negara yang wakil dari parti yang secara konsisten rasis, anti Islam diberi tempat dalam Yadim.

"Sejarah Malaysia baru apabila Adun DAP dari parti yang rasis anti Islam diberi tempat untuk menjaga agama. Inikah agenda transformasi dalam Malaysia Baru?

“Mana dasar good governance yang dilaung-laungkan selama ini?

"Sedarlah bahawa rakyat sudah muak dengan karenah kleptokrasi politik. Apatah lagi tindakan-tindakan lacut memperkudakan agensi agama," kata Zamihan.

Lihat Komen
ADS