Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nik Abduh: Sikap keras PAS pada DAP amalan sihat
Diterbitkan:  Feb 22, 2019 8:46 AM
Dikemaskini: 1:50 AM

Seorang pemimpin kanan PAS menyatakan tiada salah untuk parti itu bersikap keras terhadap DAP kerana masih berada dalam ruang yang dibenarkan demokrasi.

Malah menurut catatan Nik Abduh Nik Abdul Aziz apa yang berlaku itu dibenarkan dalam sistem demokrasi serta mewujudkan persaingan yang sihat.

"Ia bukan pertembungan fizikal dan permusuhan zahir. Ia perebutan menguasai minda rakyat," katanya dalam hantaran di media sosial semalam.

Beliau yang juga anggota Jawatankuasa Pusat PAS serta bekas ketua pemuda parti itu menjelaskan sikap parti itu yang keras terhadap DAP juga disebabkan pendirian DAP kepada mereka.

Katanya PAS hanya berpolitik berasaskan kewajiban agama manakala DAP pula memusuhi amalan sedemikian.

"Maka, persaingan adalah tidak dapat tidak. Ia semula jadi politik dan pemerintahan," katanya.

Padang politik demokrasi

Nik Abduh menegaskan sikap itu sebenarnya tiada kaitan dengan rasisme, kezaliman atau kebencian sesama masyarakat kerana ia bukan diajar oleh agama.

"Melayu lain, PAS lain. Cina lain, DAP lain.

"Ia bukan pertembungan bangsa, bahasa atau warna. Ia pertembungan pemikiran dan hala tuju politik. Itulah padang politik demokrasi," katanya.

Untuk rekod Nik Abduh adalah antara tokoh pelapis yang diyakini sesetengah pihak bakal menjadi pemimpin utama PAS pada masa depan.

Beliau ialah anak bekas menteri besar Kelantan dan mursyidul am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat.


Baca Nik Abduh bela diri: Ayah pun pernah bohong


Sebelum PRU ke-14 tahun lalu namanya menjadi perhatian apabila tersebar rakaman audio mirip suaranya yang menyatakan PAS menerima wang daripada Umno.

Nik Abduh dengan tegas menafikan suara itu adalah miliknya, malah menganggap audio itu sebagai "fitnah, karut dan mengarut".

"Dakwaan rakaman ucapan saya itu adalah karut, mengarut dan fitnah ke atas diri saya dan PAS yang sejahtera daripada terlibat dalam perkara yang diharamkan termasuk memakan rasuah politik Umno atau membuntut ekor DAP.

"Ia hanya sampah yang tak layak dimakan kecuali pelahap fitnah seperti PAN (Parti Amanah Negara) dan sekutunya. Saya menafikan sekeras-kerasnya," kata Nik Abduh. 


Baca 'Jika ikut kaedah Nabi Ibrahim, Nik Abduh layak dapat pahala'


Bagaimanapun beberapa hari sebelum genap setahun penafian itu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan tampil membuat pengesahan bahawa suara dalam rakaman audio itu memang Nik Abduh. 

Pengumuan itu dibuat 10 hari selepas Presiden PAS Abdul Hadi Awang menarik balik samannya ke atas editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown di mahkamah London. 

Nik Abduh kemudian menjelaskan beliau berkata tidak benar dalam isu rakaman audio berkenaan dengan restu Abdul Hadi.

Menurut Nik Abduh PAS berpolitik dan berdakwah dengan mengajak manusia bertakwa kepada Allah sedangkan DAP mahukan sebaliknya.

Justreru katanya persaingan secara demokratik di antara PAS dan DAP ialah bagi menguasai minda rakyat.

"Jaga ini baik-baik, Malaysia akan terus aman sejahtera.

"PAS menyeru umat Islam, kembalilah kepada Islam yang sempurna, yang sejahtera, yang adil dan yang terbaik untuk negara.

"Apabila umat Islam kembali kepada agamanya, maka amat mudah bagi bukan Islam mengenali Islam dan menerimanya untuk Malaysia yang sejahtera," katanya.

Lihat Komen
ADS