Malaysiakini
BERITA

Mat Hasan ajak MCA, MIC bincang baik-baik

Diterbitkan

Beberapa jam selepas media melaporkan MCA dan MIC sedang berbincang mengenai masa depan BN, Pemangku Presiden Umno Mohamad Hasan tampil mengajak kedua-dua parti bermesyuarah.

Beliau yang juga bertindak sebagai pemangku pengerusi BN selepas Dr Ahmad Zahid Hamidi bercuti berkata Umno melihat isu berkenaan dengan serius dan menggesa semua pihak bertenang.

"Saya melihat isu ini dengan serius. Saya akan memanggil mesyuarat dalam tempoh terdekat bagi membincangkan hal ini," katanya seperti dipetik NST.

Terdahulu Malaysiakini melaporkan MCA dan MIC sedang melihat pelbagai kemungkinan dalam menentukan langkah mereka di pentas politik ketika ini.

Memetik sumber yang enggan didedahkan identitinya, antara cadangan yang dibincangkan kedua-dua parti itu ialah menyingkirkan Umno daripada BN.

Sebelum itu MCA dan MIC mengeluarkan kenyataan bersama untuk memaklumkan rancangan mereka meninggalan BN dan meneroka idea membentuk pakatan baru.

Ini berikutan sikap membisu berterusa Umno mengenai kenyataan perkauman daripada parti itu.

Boleh keluar bila-bila masa

“MCA dan MIC tidak ada pilihan lain kecuali untuk meneruskan langkah untuk meneroka pakatan baru yang menggambarkan tujuan sebenar penyatuan dalam kepelbagaian dalam niat asalnya,” kata kenyataan ditandatangani Presiden MCA Dr Wee Ka Siong dan Presiden MIC S A Vigneswaran.

Untuk rekod MCA baru-baru ini meluluskan usul untuk mengemukakan cadangan bagi membubarkan BN dan membentuk gagasan baru selepas parti itu kalah dalam PRU ke-14 pada tahun lalu.


Baca 'Umno ajak mesyuarat tapi MCA, MIC takut terperangkap'


Kegagalan BN mengekalkan kuasa juga menyaksikan satu demi satu parti komponennya membawa haluan sendiri. Setakat ini parti utama yang masih ada dalam BN ialah Umno, MIC dan MCA.

Bagaimanapun Setiausaha Agung BN Nazri Aziz pada 25 Feb lalu berkata beliau tidak berasakan MCA masih menjadi sebahagian daripada parti komponen BN.


Baca Nazri: MCA, MIC tak boleh hidup tanpa Umno


Malah Nazri berpendapat MCA boleh meninggalkan gabungan tersebut pada bila-bila masa.

Mohamad berkata semua pihak perlu mengelakkan tindakan drastik sebelum mesyuarat diadakan.

"Selepas bermesyuarat kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu ini," katanya lagi.

Sementara itu Nazri pula berkata MCA dan MIC tidak perlu menunggu lebih lama jika mereka mahu meninggalkan BN.

"Apa yang mereka tunggu lagi? Mereka boleh keluar, siapa kisah?

"Ada banyak parti meninggalkan BN (sebelum ini), jadi mereka boleh berkemas dan keluar," katanya.

Mulai 15 Oktober 2020, Malaysiakini versi BM memperkenalkan sistem komen baru yang lebih baik.

Untuk berhubung secara telus dan bertanggungjawab dengan pengulas lain, pembaca BM kini perlu menjadi pelanggan berbayar. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.

Iklan