Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Khazanah belum terima tawaran beli Legoland
Diterbitkan:  Mar 5, 2019 12:27 PM
Dikemaskini: 10:15 AM

Khazanah Nasional masih belum menerima sebarang tawaran daripada pembeli prospektif untuk membeli pegangannya dalam Legoland Malaysia, taman tema yang dimilikinya di Johor, kata pengarah urusannya, Shahril Ridza Ridzuan.

"Buat masa ini kami belum lagi berbincang dengan sesiapa.

"Bagaimanapun, apabila kami menyemak semula aset kami, kami perlu memastikan yang kami menyedari sepenuhnya nilai-nilai yang terdapat pada aset-aset,” kata Shahril kepada pemberita.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai laporan berita bahawa dana nasional itu sedang menimbang menjual pegangannya dalam Legoland Malaysia.

Terdahulu, beliau membentangkan Kajian Semula Tahunan Khazanah 2019, di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau juga berkata Legoland Malaysia mencapai kejayaan besar dengan pendapatan sebelum faedah, cukai, pelunasan dan susut nilai yang tinggi dan pendapatan yang positif.

Portal Bloomberg yang memetik sumber awal hari ini melaporkan Khazanah   dilaporkan sedang mempertimbangkan cadangan untuk menjual Legoland Malaysia Resort yang dianggarkan bernilai RM1 bilion termasuk hutang yang dimiliki.

Kata sumber itu, Khazanah sedang mempertimbangkan potensi penjualan sebagai sebahagian daripada kajian semula ke atas aset bukan terasnya.

“Belum ada keputusan muktamad dan ada kemungkinan Khazanah mengekalkan aset itu,” kata sumber itu lagi.

Legoland Malaysia Resort yang terletak di selatan Johor dimiliki Khazanah dan dikendalikan Merlin Entertainments Plc. Ia adalah taman bertema Lego yang pertama di Asia, meliputi kawasan yang bersamaan dengan lebih daripada 50 padang bola sepak.

Taman tema Lego pertama di Asia itu dibuka pada 15 September 2012 dengan mempamerkan 15,000 model Lego yang dibuat daripada lebih 60 juta bata.

Menurut Bloomberg wakil Khazanah belum bersedia mengulas lanjut berhubung berita berkenaan.

Sementara itu bekas perdana menteri, Najib Razak dalam hantarannya di Facebook berkata, usaha Khazanah Nasional di bawah kerajaan BN untuk mewujudkan taman tema bertaraf antarabangsa itu adalah untuk merancakkan industri pelancongan.

“Sejak dibuka dan selari dengan jumlah pengunjung yang semakin bertambah, Legoland terus ditambah baik dengan penambahan lebih banyak tarikan seperti Sea Life yang akan dibuka bulan depan.

 “Kini, Khazanah di bawah kerajaan PH sudah bersedia untuk jual Legoland Malaysia dengan harga RM1 bilion.

“Besar kemungkinan pembeli ini adalah dari luar negara. Tak apalah. Lagi banyak aset negara boleh dijual oleh kerajaan PH,” katanya dalam nada sinis.


Lihat Komen
ADS