Mahkamah Persekutuan hari ini mengesahkan keputusan Lembaga Tatatertib Peguam bela dan Peguam cara (DB) dan dua mahkamah rendah yang membersihkan peguam Tan Sri Cecil Abraham daripada salah laku profesional.
Panel lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tan Sri Richard Malanjum sebulat suara menolak rayuan Majlis Peguam.
Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Seri Wong Dak Wah yang menyampaikan keputusan mahkamah itu berkata berdasarkan keadaan, tribunal yang munasabah akan membuat kesimpulan yang sama bahawa Abraham tidak bersalah melakukan salah laku.
Beliau berkata standard bukti melampaui keraguan munasabah memandangkan ia melibatkan salah laku peguam cara.
"Tidak ditunjukkan kepada kami bahawa terdapat kegagalan oleh Lembaga Tatatertib dalam bertindak secara adil dan dengan saksama dalam menjalankan tugasnya," katanya, sambil menambah bahawa rayuan itu tidak mempunyai merit.
Wong berkata Mahkamah Persekutuan juga mendapati tiada kesilapan yang terang-terangan dalam pelaksanaan undang-undang.
Rayuan itu telah didengar pada 19 Nov tahun lepas di hadapan Malanjum, Wong dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ramly Ali, Datuk Mohd Zawawi Salleh dan Datuk Seri Balia Yusof Wahi.
Bagaimanapun, penghakiman diumumkan hari ini oleh panel empat hakim mengikut Seksyen 78 (1) Akta Mahkamah Kehakiman kerana Balia telah bersara.
Peguam Rishwant Singh yang mewakili Abraham memohon mahkamah supaya mengenakan kos sebanyak RM150,000 tetapi mahkamah bersetuju dengan peguam Majlis Peguam Datuk Bastian Pius Vendargon bahawa tiada kos yang perlu diberikan memandangkan majlis itu hanya menjalankan fungsi statutorinya.
Aduan salah laku telah difailkan terhadap Abraham atas dakwaan merangka akaun berkanun kedua penyiasat persendirian P. Balasubramaniam (yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada Mac 2013) yang merupakan saksi pendakwaan dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.
Prosiding tatatertib terhadap Abraham oleh Jawatankuasa Tatatertib bermula 27 Feb 2014 dan berakhir pada 7 Feb 2015.
Pada Mac 2016, DB mengesahkan dapatan dan cadangan Jawatankuasa Tatatertib itu yang mendapati tiada sebab untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap peguam kanan itu.
Majlis Peguam kemudiannya memfailkan rayuan melalui saman pemula pda 11 Mac, 2016, memohon untuk mengetepikan keputusan Lembaga Tatatertib.
Bagaimanapun, Majlis Peguam gagal dalam kesnya di Mahkamah Tinggi pada 2016 dan di Mahkamah Rayuan pada 2018.
- Bernama
