Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Nurul Izzah sertai PAC semula
Diterbitkan:  Apr 4, 2019 5:56 PM
Dikemaskini: 9:56 AM

Setelah berpuas hati dengan jaminan semak dan imbang dalam struktur Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), anggota parlimen Permatang Pauh Nurul Izzah Anuar akhirnya bersetuju untuk menyertai semula jawatankuasa berkenaan.

“Alhamdulillah. Struktur jawatankuasa PAC yang membolehkan semak imbang berlangsung, adalah amat penting buat kepentingan negara.

“Harapan saya agar agenda reformasi sentiasa menjadi keutamaan kita dalam berkhidmat demi rakyat dan negara,” katanya seperti dipetik Sinar Harian.

Nurul Izzah melepaskan jawatannya dalam jawatankuasa itu pada 22 Mac lalu atas alasan ketidaksefahaman Pakatan Harapan (PH) mengenai pemilihan kepimpinan PAC.

Gabungan itu sebelum ini berjanji agar pengerusi PAC diketuai pemimpin pembangkang.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Pengerusi PAC, Ronald Kiandee yang menyertai Bersatu dari Umno tidak perlu meletakkan jawatan.

Nurul Izzah serta beberapa ahli PAC dari kalangan PH kemudian menulis surat kepada kerajaan agar berpegang pada janji manifesto dan menukar pengerusi PAC dari kalangan ahli parlimen pembangkang.

Pada 25 Mac lalu, giliran anggota parlimen BN dan PAS dalam PAC berkata mereka akan meletak jawatan sebagai membantah keputusan kerajaan mengekalkan Kiandee.

Selepas bantahan selama beberapa minggu, kerajaan akhirnya memutuskan untuk mengadakan usul menggantikan Kiandee dengan anggota parlimen pembangkang.

Anggota parlimen yang dijangka dilantik ke jawatan itu ialah Noraini Ahmad (BN-Parit Sulong).

Usul itu adalah perkara sembilan dalam Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Mesyuarat, usul itu akan dibentangkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sendiri.

Lihat Komen
ADS