Lynas boleh terus beroperasi dengan syarat hapuskan radioaktif dulu
Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata, Lynas boleh terus beroperasi di Malaysia, dengan syarat bahan mentah yang dibawa ke negara ini perlu menjalani proses pembersihan dan dihapuskan radioaktif terlebih dahulu.
Katanya, Malaysia telah mengenakan syarat tambahan itu kepada Lynas.
“Namun ke mana mereka mahu membawa sisa itu? (Adakah) mereka ingin membawanya ke Australia?
“Tetapi mereka (Australia) enggan menerimanya. Kita juga tidak boleh berbuat demikian,” katanya kepada pemberita di Putrajaya, hari ini.

Justeru, kata Dr Mahathir, Malaysia akan membuka perniagaan perlombongan nadir bumi ke syarikat lain dan mereka hanya dibenarkan beroperasi jika mereka mematuhi syarat-syarat kerajaan.
“Apa yang kita telah lakukan adalah menawarkan perniagaan itu kepada pihak lain, malah ada syarikat lain yang bersedia mengambil alih Lynas.
“Mereka berjanji bahawa pada masa depan, sebelum bahan mentah itu dihantar ke Malaysia, mereka akan membersihkannya terlebih dahulu,” katanya.
Menurut Dr Mahathir, sekiranya bahan mentah yang dibawa ke Malaysia itu dalam jumlah kecil, maka sisa daripada bahan mentah itu tidak membahayakan sesiapapun.
Sebelum ini, timbul percanggahan pendapat antara menteri kabinet berhubung isu Lynas.
Menteri Pembangunan Usahawan, Mohd Redzuan Yusof dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin mempunyai pandangan berbeza mengenai isu berkenaan. Begitu juga dengan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh yang sejak 2008 membantah operasi kilang Lynas di Gebeng Kuantan.
Perdana Menteri menjelaskan keputusan membenarkan Lynas terus beroperasi adalah keputusankKabinet selepas dibincangkan secara bersama.

“Keputusan ini dibuat semasa mesyuarat Kabinet hari ini, selepas beberapa ahli kemukakan pendapat yang berbeza berhubung syarikat Lynas ini,” katanya.
Lynas yang berpangkalan di Australia mempunyai kilang pemprosesan di Gebeng, Pahang, tetapi menghadapi masalah mendapatkan pembaharuan lesen untuk loji itu kerana kebimbangan mengenai pengurusan sisa.






