K’jaan akan dedah manipulasi laporan kewangan LTAT
Kerajaan akan mendedahkan laporan penuh kewangan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) yang didakwa dimanipulasi kerajaan BN terdahulu pada Jun atau Julai ini, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.
Beliau berkata laporan itu terpaksa ditangguhkan kerana pihak audit masih menelitinya.
“Kita terpaksa tangguhkan dari Mac kerana audit masih berjalan,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.
Katanya, Ketua Eksekutif LTAT Nik Amlizan Mohamed juga dijangka mengadakan sidang media bagi memberi penjelasan ringkas berhubung laporan kewangan itu, Khamis ini.
Pada 30 Mac lalu, Mohamad berkata dividen LTAT masih belum dibuat kerana terdapat masalah pentadbiran berpunca daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini.

“Kami belum putuskan mengenai tindakan (terhadap pihak yang memanipulasi laporan kewangan LTAT) tapi ia akan diumumkan kelak.
“Sidang media Khamis ini tidak akan dedahkan laporan penuh, hanya penjelasan ringkas," katanya.
Mohamad ditanya mengenai pendedahan laporan penuh kewangan LTAT dan tindakan terhadap individu yang bertanggungjawab memanipulasi laporan berkenaan.
Sebelum ini Mohamad berkata pengumuman dividen LTAT masih belum dapat dibuat berikutan masalah akaun yang berpunca daripada pentadbiran kerajaan lalu.
Beliau dilaporkan berkata, ada banyak akaun tidak menunjukkan kedudukan sebenar ketika pentadbiran kerajaan terdahulu, selain menerima beberapa teguran sebaik proses audit dibuat.
Hal itu berlaku selepas bekas perdana menteri Najib Razak mempersoalkan isu kelewatan dividen dan bonus LTAT serta Lembaga Tabung Haji (TH).






