Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bandar Malaysia: Bagaimana ICSB kembali lepas disingkir era Najib?

KINIGUIDE | Projek Bandar Malaysia akan diteruskan semula tidak lama lagi. Satu pendedahan yang agak mengejutkan ialah projek tersebut akan turut melibatkan syarikat yang disingkirkan oleh pentadbiran lama Najib Razak.

KiniGuide kali ini akan memberi pembaca rumusan ringkas tentang bagaimana sebuah konsortium Malaysia-China terlibat dalam projek tersebut dan bagaimana projek itu berhubung kait dengan skandal 1MDB.

Apa itu Bandar Malaysia?

Bandar Malaysia ialah nama projek hartanah yang terletak di kawasan yang lebih dikenali dengan nama Lapangan Terbang Sungai Besi.

Tarikan utama projek tersebut adalah pembinaan hub pengangkutan berintegrasi yang sepatutnya menjadi salah satu stesen yang terletak di paling utara Projek Rel Berkelajuan Tinggi Kuala Lumpur-Singapura (HSR) yang dimansuhkan buat masa ini.

 

Antara rancangan lain untuk projek berkeluasan 486 ekar itu termasuklah pembinaan fasiliti perniagaan, pelancongan dan unit kediaman.

Projek tersebut sepatutnya dibangunkan oleh 1MDB. Bagaimanapun, projek itu tidak pernah dimulakan.

Apa peranan 1MDB dalam projek tersebut?

1MDB, sebuah syarikat yang sepenuhnya dimiliki oleh Kementerian Kewangan, membeli tanah untuk projek tersebut daripada kerajaan pusat pada 2011. Harga pembelian tanah tersebut ialah RM1.7 bilion (RM74 per meter persegi).

Dalam perjanjian, 1MDB bertanggungjawab menempatkan semula pangkalan udara Sungai Besi ke Sendayan, Negeri Sembilan.

Susulan perjanjian tersebut, 1MDB menjual 60 peratus kepentingannya dalam projek Bandar Malaysia kepada ICSB, sebuah syarikat usaha sama antara syarikat Malaysia, Iskandar Waterfront Holding (IWH) dengan China Railway Engineering Corporation (CREC) dari China.

ICSB memenangi bidaan tersebut melalui proses tender terbuka antarabangsa.

IWH pula merupakan syarikat usaha sama antara sebuah syarikat swasta Credence Resources Sdn Bhd (60 peratus) dengan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (40 peratus) yang dimiliki oleh kerajaan negeri Johor.

Kenapa projek itu tak dimulakan?

ICSB tidak melangsaikan pembayaran untuk 60 peratus kepentingan yang dimilikinya. Ekoran itu, 1MDB, melalui anak syarikatnya TRX City pada masa itu, mendakwa perjanjian telah pun luput.

ICSB menyanggah dakwaan tersebut, bagaimanapun ICSB tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang. Deposit ICSB sebanyak RM741 juta dipulangkan kepada mereka.

Apa yang peliknya, TRX City Sdn Bhd mengumumkan bahawa perjanjian itu dibatalkan pada 3 Mei 2017, pada hari yang sama perdana menteri merangkap pengerusi lembaga penasihat 1MDB, Najib Razak dijadualkan melawat Bandar Malaysia.

Siapa bertanggungjawab dalam perjanjian tersebut?

Secara teknikal, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB Arul Kanda Kandasamy sepatutnya bertanggungjawab. Dia merupakan pengerusi Bandar Malaysia merangkap pengarah TRX City Sdn Bhd.

Selepas perjanjian dengan ICSB tak berjaya, Ketua Setiausaha Perbendaharaan ketika itu Mohd Irwan Serigar Abdullah menjadi jurucakap utama untuk projek Bandar Malaysia.

Pada ketika itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli membuat spekulasi bahawa Arul dan Irwan saling bersaing dalam menentukan siapa yang mampu mengatur perjanjian terbaik bagi projek Bandar Malaysia.

Irwan kemudiannya berjanji bahawa pelabur baru akan mengambil alih kepentingan ICSB. Kata Irwan, Putrajaya pada ketika itu sedang mengintai syarikat gergasi dalam senarai Fortune 500.

Dua minggu selepas perjanjian dengan ICSB gagal, Najib secara peribadi cuba melobi sebuah konglomerat dari China, Dalian Wanda untuk melabur dalam Bandar Malaysia. Dalian Wanda merupakan sebuah syarikat dalam senarai Fortune 500.

Cubaan itu tidak berjaya dan projek Bandar Malaysia yang diberi diberi jolokan ‘pemangkin ekonomi’ oleh pentadbiran Najib, terbengkalai dalam diam.

Kenapa ICSB bagus untuk projek ini sekarang?

Menurut Pejabat Perdana Menteri, ICSB komited untuk membuat bayaran pendahuluan RM500 juta selain RM741 juta bayaran deposit.

Bayaran itu akan dilangsaikan dalam masa 60 hari selepas kerajaan mengumumkan akan meneruskan semula projek tersebut.

Terdapat juga beberapa perubahan dalam projek tersebut, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, pelan baru akan turut melibatkan ‘taman rakyat’, 10,000 rumah mampu milik (berbanding 5,000 sebelum ini), serta keutamaan terhadap penyertaan bumiputera dan pembekal tempatan.

Apa kata Najib sekarang apabila projek ini diteruskan semula?

Najib mendakwa perkembangan ini sebagai ‘pusingan U’ kerana PH sebelum ini begitu membangkang projek tersebut, tetapi akhirnya menyambung semula apa yang dimulakan oleh pentadbirannya.

Dakwanya, semua pihak terlibat dalam projek tersebut kekal sama, begitu juga dengan terma perjanjiannya.

Bagaimanapun, dakwaan tentang ‘terma yang sama’ itu tidak dapat disahkan kerana setakat ini, tidak dapat dipastikan bahawa Putrajaya menggunakan pelan yang sama dengan pentadbiran Najib dahulu.

Benarkah PH membantah projek Bandar Malaysia?

Kritikan PH sebelum ini lebih banyak ditujukan kepada pentadbiran Najib kerana membenarkan 1MDB berhutang sehingga RM42 bilion. Bagaimanapun, sebahagian perkara yang dibangkitkan dalam kempen PH terhadap Najib pada masa itu turut berkisar tentang penglibatan China dalam skandal 1MDB.

Seperti projek TRX, Bandar Malaysia terpalit dengan skandal 1MDB kerana ia bertujuan menjual tanah negara untuk menjana wang bagi membayar hutang 1MDB.

Sesetengah pemimpin PH mengkritik pentadbiran Najib kerana penglibatan CREC dalam projek Bandar Malaysia, tidak lama selepas anak syarikat 1MDB, Edra Global Energy dijual kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik China, iaitu China General Nuclear Power Corporation.

[Baca artikel asal]

Lihat Komen
ADS