Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Adun Sena: Azmin perlu saman Haziq jika tak terlibat
Diterbitkan:  Jun 20, 2019 11:55 AM
Dikemaskini: 3:55 AM

Adun Sena, Asrul Nizan Abd Jalil berkata Mohamed Azmin Ali perlu menyaman Haziq Abdullah Abdul Aziz jika timbalan presiden PKR itu mendakwa dirinya tidak terbabit dalam video seks aksi atas ranjang yang mengaitkan dirinya itu.

Kata wakil rakyat PKR Kedah itu, tindakan undang-undang itu penting memandangkan ia adalah tuduhan berat dan ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong itu sendiri telah membuat pengakuan bahawa dia adalah individu di dalam video berkenaan.

“Kalau boleh kita tidak mahu isu ini (video seks) berlarutan sehingga agenda sebenar untuk baiki kos sara hidup dan pacu ekonomi negara ke arah lebih baik demi kepentingan rakyat terjejas.

“Azmin perlu saman Haziq kalau dia bukan pelaku dalam video itu. Saman bagi cepat selesai isu ini,” katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia, hari ini.

Portal itu turut melaporkan Asrul Nizan tidak bersetuju dengan dakwaan Azmin bahawa penyebaran beberapa klip video seks yang dikaitkan dengannya itu dilakukan orang dalam parti sendiri.

Katanya, tindakan Azmin yang juga adalah menteri hal ehwal ekonomi itu dilihat akan memburukkan lagi keadaan ketika PKR sendiri sudah tercemar dengan isu ini.

“Sebaik-baiknya serahkan kepada pihak berkuasa menyiasat kes tersebut,” katanya.

Azmin Selasa lalu dilaporkan berkata, beliau yakin konspirasi untuk mencemar dan menjatuhkannya melalui penyebaran beberapa klip video seks, dilakukan ‘orang dalam’.

Isu klip video seks menggemparkan negara apabila pada 12 Jun lalu Haziq Abdullah tampil mengaku dirinya adalah individu dalam klip video seks lucah yang tular.

Haziq turut mendakwa Azmin sebagai individu bersamanya dalam klip video yang menurutnya dirakam pada 11 Mei lalu di Sandakan, Sabah.

Azmin menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia cubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Haziq ditahan di KLIA Jumaat lalu dan dibebaskan dengan jaminan polis pada hari berikutnya. Dia sedang disiasat di bawah beberapa peruntukan undang-undang, termasuk melakukan persetubuhan di luar tabii.

Azmin sudah memberi keterangan kepada polis.

Lihat Komen
ADS