Kelewatan pesawat - MAS mohon maaf kepada menteri pertahanan
Syarikat penerbangan nasional Malaysia Airlines Bhd memohon maaf kepada Menteri Pertahanan Mohamad Sabu berhubung kelewatan penerbangannya ke London sehingga mengakibatkan beliau terlepas perjumpaannnya dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di sana.
Dalam satu kenyataan, MAS menyatakan kekesalannya berhubung kelewatan itu berikutan isu teknikal.
"Syarikat penerbangan menyedari mesyuarat menteri itu (dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad) dan ingin memastikan bahawa pesawat tersebut selamat untuk terbang, kerana keselamatan pada setiap masa sangat penting bagi syarikat penerbangan ini," katanya yang dipetik akhbar The Star.
Mohamad, yang juga dikenali sebagai Mat Sabu, menaiki pesawat MH002 dari Kuala Lumpur pada 15 Jun dan dijadual tiba di London pada 5.55 pagi pada 16 Jun.
Walau bagaimanapun, disebabkan kelewatan itu, beliau hanya tiba pada jam 8.26 pagi.
MAS menjelaskan bahawa syraikat itu juga membuat persediaan supaya pemeriksaan imigresen dan keselamatan dapat dijalankan dengan pantas dan lancar semasa ketibaan penerbangan itu di Lapangan Terbang Heathrow.
Syarikat penerbangan kemudiannya membuat rancangan penerbangan alternatif bagi rombongan menteri pertahanan itu terbang ke Paris untuk lawatan kerja di sana.
Semalam, Kementerian Pertahanan mengeluarkan kenyataan yang menyatakan kekecewaan bahawa kelewatan itu telah mengakibatkan mesyuarat dengan perdana menteri terpaksa ditangguhkan.





