BERITA Malaysiakini

Nik Zawawi mahu apa sebenarnya, tanya Mujahid

News  |  Diterbitkan  |  Dikemaskini

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dr Mujahid Yusof meluahkan rasa peliknya dengan reaksi Ketua Ulama PAS Pusat, Dr Nik Zawawi Salleh yang menurut beliau berdolak-dalih dalam isu dialog mengenai kewajiban menjatuhkan kerajaan PH.

Kata Mujahid, dengan sikap "flip flop" ditunjukkan Nik Zawawi, beliau tidak pasti apa sebenarnya yang dimahukan oleh anggota parlimen Pasir Puteh berkenaan.

"Dia kata dia bersedia (berdialog). Ada orang respons, antaranya Ustaz Wan Ji (Wan Hussin), tapi dia kata pula (Wan Ji) budak jalanan.

"Kemudian, Ustaz Zulkharnain Abidin menawarkan diri dan kami di peringkat pentadbiran, juga melalui TV Alhijrah, tidak ada halangan membuka ruang supaya perdebatan itu berlaku secara sihat.

"Kemudian, beliau katakan tidak setaraf.

"Jadi... kalau dia flip-flop macam ni, saya pun tak tahu apa yang dia mahu sebenarnya," katanya di Kuala Lumpur seperti dipetik Sinar Harian.

Buat pusingan U

Mujahid mengulas tentang kenyataan Nik Zawawi pada Sabtu lepas yang sedia berdialog dengan mana-mana pihak daripada PH berhubung 'fatwa' beliau mengenai wajib menjatuhkan kerajaan PH dibuatnya pada sesi penggulungan Muktamar PAS ke-65 di Kuantan, baru-baru ini.

Beliau hanya meletakkan syarat agar dialog berkenaan dibuat secara terbuka dan disiarkan secara langsung di televisyen atau tempat terbuka seperti di stadium.

Susulan daripada itu, beberapa pihak telah menyatakan kesediaan untuk menyahut pelawaannya, antaranya Wan Ji, namun sambutan itu ditolak oleh Nik Zawawi dengan memberikan alasan beliau tidak mengkenali pendakwah bebas berkenaan.


Baca Amanah persoal ‘Datuk’ ketua Dewan Ulama PAS


Sebaliknya, katanya, demi mencari keredaan Allah, dia mahu berdialog dengan tokoh yang sama taraf, bukannya dengan budak-budak jalanan yang menghabiskan masa dengan sia-sia.

Antara tokoh lain yang sanggup berdialog dengan Nik Zawawi ialah Pengarah Syariah Amanah Nasional, Zolkharnain Abidin, serta Pengerusi Biro Agama Pemuda Bersatu, Abu Hafiz Salleh Hudin.

Terbaru, Nik Zawawi akhirnya mempelawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Mujahid Yusof yang disifatkannya sebagai “sahabat karib” untuk duduk sepentas dengan beliau bagi menjayakan sesi dialog terbabit.

Mengulas lanjut, Mujahid menyifatkan pemimpin PAS suka membuat pusingan U dengan mengambil contoh pendirian Nik Zawawi dalam isu dialog tersebut selain beberapa isu lain.

“Mulanya dia kata tak kira siapa, tapi, apabila bagi (calon) dia kata budak jalanan.

"Dulu dia kata kena isytihar (harta) tapi hari ini pula kata tak payah isytihar harta sebab Islam tak bagi.

“Dulu (PAS) kata Umno wajib kita tumbangkan, hari ini dia berkawan pula dengan Umno.

"Jadi saya tak terkejutlah kenyataan ketua ulamak dia tu flip-flop sebab selama ni PAS (pun) flip flop," katanya lagi.