Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azmin: K'jaan teliti cadangan percepat Projek Empangan Lebir

Kerajaan persekutuan sedang meneliti cadangan kerajaan Kelantan agar pelaksanaan Projek Empangan Lebir di Gua Musang dipercepatkan.

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali berkata, projek membabitkan kos sebanyak RM3.5 bilion itu bakal membolehkan kerajaan negeri menguruskan sumber air untuk pengairan, sumber minuman, bekalan domestik dan menjana bekalan elektrik.

"Projek ini dijangka menelan belanja sebanyak RM3.5 bilion termasuk kos pengambilan tanah. Projek berkenaan adalah salah satu elemen daripada Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB).

"Projek yang melibatkan kawasan Ulu Kelantan ini perlu diberi keutamaan walaupun Projek Empangan Lebir ini asalnya dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK-13), tetapi kerajaan Kelantan merasakan perlu disegerakan kerana keperluan mendesak bagi memastikan tidak berlaku banjir monsun dan kilat yang menjejaskan ekonomi negeri, biarpun ia dimasukkan dalam RMK13.

"Kementerian sedang dalam proses libat urus RMK-12 dan cadangan kerajaan negeri ini akan dibincangkan untuk dimasukkan ke dalam RMK-12," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Negeri (MTNg) di Kota Darul Naim, Kota Bharu hari ini.

Hadir sama Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yakob.

Siap awal dari dijadualkan

Selain itu Azmin berkata, mesyuarat pada hari ini turut menyentuh perkembangan fasa pertama Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu yang kini 19 peratus siap.

Katanya, projek yang menelan kos RM458 juta itu diharap dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan bagi mengatasi masalah banjir pada akhir tahun dan banjir kilat.

"Perkembangan projek fasa pertama itu dilihat lebih awal berbanding yang dijadualkan.

"Justeru, kita berharap projek berkenaan dapat disiapkan mengikut jadual kerana ia penting bagi menangani banjir kilat dan monsun setiap kali akhir tahun.

"Pada masa sama kita ambil maklum pandangan Lembagan Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) untuk bekalan air kepada pesawah yang bergantung penuh daripada sumber sungai Kelantan," jelasnya.

Azmin yang juga anggota parlimen Gombak berkata, pada mesyuarat MTNg Kelantan kali ini pihaknya juga meneliti cadangan daripada Tenaga Nasional Berhad (TNB) berkait Projek Hidroelektrik di Nenggiri dan permohonan peruntukan tambahan Syaikat Air Kelantan Sdn Bhd bagi projek Skim Bekalan Merbau Condong di Machang.

Sementara itu, mengulas perkembangan lima projek mega yang pernah diumumkan beliau pada Mac lalu, Azmin berkata, ia sudah bermula dalam proses dan fasa pembangunan dan mendapat kerjasama yang baik daripada kerajaan negeri.

"Beberapa peruntukan awal juga sudah diluluskan oleh kementerian supaya ia berjalan mengikut jadual ditetapkan.

"Antaranya projek pembesaran Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) yang kini dalam proses perolehan dan tender akan mula dibuka untuk suku tahun keempat tahun ini dan ini menunjukkan satu komitmen yang baik daripada kerajaan pusat dan negeri," katanya.

Lihat Komen
ADS