Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Di sebalik ketegasan Abdul Hadi Awang untuk mengekalkan Akta Hasutan 1948, seorang pemimpin Amanah mengingatkan, PAS pernah sebulat suara meluluskan usul mendesak akta tersebut dimansuhkan.

Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Faiz Fadzil, memberitahu Malaysiakini, usul tersebut dibentangkan hanya kira-kira lima tahun lalu.

Katanya ketika itu PAS mengadakan muktamar tahunan ke-60 di Batu Pahat, Johor.

Faiz yang ketika itu merupakan salah seorang perwakilan berkata, kenyataan presiden PAS pada 13 Julai lalu menunjukkan parti tersebut sekali lagi membuat pusingan U.

“Saya ingat lagi sebab saya perwakilan (ketika muktamar ke-60)," katanya.

Faiz yang juga Adun Permatang Pasir di Pulau Pinang menambah tindakan PAS membuat pusingan U itu menunjukkan parti terbabit tiada prinsip.

Katanya sesebuah parti politik mestilah mempunyai garis perjuangan yang jelas, seperti menentang kezaliman.

Tak mahu tergesa-gesa

Menurut anak bekas presiden PAS itu, Akta Hasutan yang ada pada 2014 adalah sama dengan apa yang ada sekarang.

"Sekarang, tak bolehlah kata (Akta Hasutan) tak zalim kerana undang-undang pada 2014 dan 2019 masih sama,” katanya.

Usul mendesak agar Akta Hasutan dimansuhkan dibentang oleh anggota parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof pada 19 Sept 2014. Ia diusulkan oleh Jawatankuasa Pusat PAS bersama Dewan Muslimat Pusat PAS.

Untuk rekod, Amanah merupakan parti serpihan PAS yang diwujudkan pada Julai 2015 ekoran perselisihan pandangan di antara dua kumpulan dalam parti tersebut.

Pada 11 Julai lalu Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan Akta Hasutan akan digantikan secepat mungkin dan kerajaan kini dalam proses menyiapkan akta lain sebagai pengganti.

Ekoran itu pemimpin kanan PAS menyatakan bantahan mereka terhadap cadangan tersebut.

Abdul Hadi misalnya menggesa kerajaan mengekalkan akta berkenaan dengan membuat takrifan baru agar ia tidak disalahgunakan.

Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, pula meminta kerajaan tidak mengambil tindakan tergesa-gesa memansuhkan akta itu.

Lihat Komen
ADS