Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, P Ramasamy menolak desakan supaya beliau melepaskan jawatannya sebagi exco pendidikan kerajaan negeri berhubung kritikannya terhadap pelaksanaan pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks bahasa Melayu di sekolah Cina dan Tamil.

Sebaliknya, kata Ramasamy, sayap Pemuda Bersatu (Armada) Pulau Pinang, yang membuat gesaan itu semalam, tidak berbeza dengan Umno, satu parti politik perkauman.

"Mereka ini kumpulan mencari pasal yang hanya mahu menumpang kepada gelombang popularitinya," kata Ramasamy kepada Malaysiakini.

"Jika mereka kata saya rasis, maka mereka mesti membekalkan bukti bagi menyokong dakwaan itu," katanya dalam jawapan WhatsApp dari India.

Ramasamy berkata beliau mempunyai hak untuk mengajukan soalan tentang isu Jawi kepada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohammed atau pun kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

"Armada fikir kedua-dua mereka tidak boleh dipersoalkan? Mereka ini tidak berbeza dengan Umno," katanya.

Semalam, Armada Pulau Pinang mendesak Ramasamy supaya berundur dan mendakwa ahli jawatankuasa eksekutif (CEC) DAP itu tidak layak menjadi exco negeri kerana tidak menyokong langkah serta inisiatif kementerian pendidikan dalam memartabatkan warisan bahasa Melayu.

Sehubungan dengan itu, mereka menasihatkan Ramasamy agar tidak menjadi api dalam serkam serta gunting dalam lipatan terhadap hasrat murni kerajaan dalam membina identiti nasional yang berakar jati pribumi.

[Baca berita penuh]