Polis akan ambil tindakan terhadap pengguna Twitter yang mendakwa bahawa remaja Ireland Nora Anne Quoirin dirogol dan dibunuh oleh Orang Asli.

Ketua Polis Negeri Sembilan Mohamad Mat Yusop menjelaskan bahawa ciapan oleh seorang individu bernama Zikri Armstrong berunsur fitnah, lapor Harian Metro.

Bagaimanapun, katanya, tiada laporan polis dibuat berhubung ciapan Twitter tersebut.

"Ini berunsur fitnah. Polis tidak menerima sebarang laporan, tapi kami masih akan siasat," tambah beliau.

Menurut ciapan tersebut, pihak polis tidak dapat mengenal pasti "pembunuh" Nora Anne.

"Perogol Nora Anne adalah Orang Asli. Polis tidak akan menemui pembunuhnya kerana kebanyakan Orang Asli tidak mempunyai kad pengenalan atau sebarang data warganegara," katanya dalam laman Twitter.

Mayat Nora Anne ditemui di kawasan lurah berhampiran anak sungai, 2.5 kilometer dari resort penginapan tempat remaja itu dilaporkan hilang pada 4 Ogos, sehari selepas keluarganya mendaftar masuk untuk percutian dua minggu di resort berkenaan.

Hari ini, Mohamad memberitahu di sidang media bahawa tidak ada elemen jenayah yang disyaki dalam kes itu.

Mengulas hasil bedah siasat, beliau berkata punca kematian adalah akibat kebocoran usus.

Mohamad juga berkata tiada tanda-tanda mangsa dirogol.

"Tiada tanda rogol. Bengkak pada kakinya tidak menunjukkan elemen jenayah," katanya.