Dalam khutbah Jumaat yang dibacakan di masjid-masjid Wilayah Persekutuan hari ini, khatib memaklumkan bahawa khutbah Jumaat akan menerapkan  aspek kewangan Islam.

Menurut khatib, dalam memperkasa segmen kewangan Islam di Malaysia dan memastikan negara kekal sebagai peneraju kewangan Islam di peringkat global, kerajaan telah menubuhkan Jawatankuasa Khas Kewangan Islam (JKKI) yang mengumpulkan ilmuwan kewangan Islam tempatan, pemain utama industri kewangan dan agensi kawal selia kewangan.

“Pada masa yang sama, kerajaan juga sedar bahawa usaha pemerkasaan ini hanya akan berjaya sekiranya ia berakarkan kesedaran yang jitu dalam kalangan rakyat.

“Oleh itu, Kementerian Kewangan Malaysia melalui Pejabat Timbalan Menteri Kewangan telah mengambil langkah signifikan dan proaktif dengan merencanakan beberapa siri khutbah Jumaat bertemakan kewangan Islam bagi membawa topik ini ke tengah masyarakat umum [...],” kata khatib.

Tambah khatib, usaha itu dilakukan bagi memastikan ilmu kewangan Islam tidak hanya berlegar di ruang korporat dan akademik bahkan dapat difahami dan dirasai oleh segenap lapisan masyarakat di negara ini.

Khutbah bertajuk Kaya Dunia Bahagian Akhirat itu turut mengingatkan jemaah bahawa Islam mengiktiraf harta sebagai asas kehidupan manusia dan tanpanya, kehidupan agama juga akan terjejas dan menyebabkan sesuatu komuniti menjadi mundur dan tidak dihormati.

Malah, tambah khatib, penjagaan harta ialah salah satu daripada lima teras utama keperluan utama yang menjadi tujuan penurunan syariat Islam atau maqasid al-syariah.

Bagaiamanapun, khatib memberi peringatan, sebagai seorang muslim, usaha mengejar kekayaan harus dibuat melalui kaca mata ibadah dan ketaatan kepada Allah.

“Harta menurut kaca mata Islam ibarat sebilah pedang yang mempunyai dua sisi, baik buruk kesannya bergantung kepada bagaimana manusia menggunakannya,” kata khatib lagi.