Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Surendran nafi dakwaan Pannir tak tulis surat sendiri
Diterbitkan:  Aug 24, 2019 10:41 AM
Dikemaskini: 2:41 AM

Penasihat Lawyers For Liberty N Surendran membidas dakwaan pihak penjara Singapura yang mengatakan bahawa P Pannir Selvam tidak menulis siri surat yang diedarkan kepada media.

Surendran, yang mewakili keluarga Pannir, menyifatkan dakwaan itu sebagai palsu serta mempersoalkan sama ada remaja berkenaan diugut selepas penjara Singapura berkata Pannir sendiri menafikan menulis surat yang memperinci hari-harinya di penjara menjelang hukuman matinya.

Pannir kini sedang menunggu hukuman mati di penjara Changi atas kesalahan dadah.

"Kenapa dia melakukannya (menafikan menulis surat itu) ketika sebenarnya dia yang menulisnya dan ada salinan versi tulisan tangannya?

"Jelas sekali, dia hanya akan melakukannya jika dia telah diugut atau dengan cara paksaan yang tidak sah oleh pihak berkuasa Singapura.

"Kami kini sangat prihatin terhadap keselamatan dan keberadaan Pannir, adakah dia telah diancam, diserang atau dipaksa oleh pihak berkuasa Singapura untuk menafikan bahawa dia menulis surat itu? Adakah Pannir selamat di penjara Singapura?" katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Surendran menegaskan bahawa semua surat yang telah diterbitkan telah ditulis oleh Pannir sendiri.

"Dalam bukti ini, keluarga Pannir memiliki salinan tulisan tangan yang ditulis oleh Pannir dalam penjara.

"Selanjutnya, salinan surat tulisan tangan Pannir juga dimuat naik di laman web rasmi kempen untuk menyelamatkan Pannir, www.savepannir.info.

"Pendek kata, sesiapa sahaja boleh melihat melihat salinan di laman web itu bahawa surat berkenaan ditulis oleh Pannir," katanya.

Surendran turut berkata bahawa adalah "sangat tidak bertanggungjawab" bagi penjara Singapura untuk membuat tuduhan yang serius tanpa menyiasat.

"Ini hanya meningkatkan kesengsaraan dan penderitaan keluarga, yang sangat berusaha untuk menyelamatkan nyawa Pannir dengan mendapatkan sokongan orang ramai.

"Sudah jelas dari tuntutan liar Singapura mengenai 'kempen yang dirancang' menentang kerajaan Singapura 'bahawa mereka mahu menakut-nakutkan dan menutup kempen awam untuk Pannir di Malaysia dan di seluruh dunia.

"Tingkah laku Singapura menunjukkan bahawa ia mahu menggantung warganegara Malaysia secara senyap-senyap dalam masa terdekat, dan tidak mahu perhatian awam ditarik atas kesnya," katanya.

Surendran mendesak kerajaan Singapura untuk mendedahkan sama ada Pannir diancam untuk menafikan bahawa surat berkenaan.

Beliau juga meminta kerajaan Singapura menghentikan sebarang usaha untuk membungkam kempen Save Pannir.

"Kami menggesa kerajaan Malaysia untuk campur tangan dalam hal ini yang melibatkan keselamatan rakyat Malaysia di luar negara, dan mencari penjelasan dan jaminan yang diperlukan dari Singapura," katanya.

Semalam, penjara Singapura mendakwa surat oleh Pannir ditulis oleh orang lain dan ia adalah kempen untuk menekan kerajaan Singapura.

Kempen Save Pannir diadakan bagi menyelamatkan Pannir dari hukuman mati selepas dia disabitkan kesalahan dadah pada 2017.

Dia sebelum ini dijadualkan digantung pada 24 Mei tetapi pada saat akhir diberi peluang untuk membuat rayuan.

Kerajaan Malaysia telah membuat rayuan untuk mengurangkan hukuman Pannir.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS