J'kuasa disiplin PKR disaran teliti isu tak hadir mesyuarat
Jawatankuasa Disiplin PKR disaran melihat isu ketidakhadiran pemimpin PKR dalam mesyuarat dan program parti.
Kata Anggota Pimpinan PKR Selangor, Rodziah Ismail, perkara itu melanggar akujanji yang dibuat oleh semua pemimpin PKR semasa sesi temu rapat Julai lalu untuk memberi keutamaan kepada kepentingan rakyat, selain mematuhi peraturan ditetapkan parti.
"Saya rasa jawatankuasa disiplin boleh melihat (boleh meneliti) perkara ini.
"Perkara ini sangat jelas dan mereka seharusnya memberi keutamaan dan melaksanakan akujanji terbabit," katanya seperti dipetik Sinar Harian.
Dia berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada isu ketidakhadiran pemimpin dalam mesyuarat parti wajar dirujuk kepada jawatankuasa disiplin PKR.
Laporan itu bagaimanapun menyebut Rodziah tidak merujuk secara khusus kepada mana-mana individu.
Pada Selasa lalu, beberapa pemimpin PKR dilaporkan masih tidak hadir ke mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) walaupun peringatan telah dikeluarkan oleh setiausaha agungnya, Saifuddin Nasution.
Tambah Rodziah, biarpun memegang jawatan penting dalam kerajaan, pemimpin PKR tetap perlu mengutamakan program parti memandangkan mereka merupakan kepimpinan penting yang dipilih ahli dalam pemilihan lalu.
Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi Negeri Selangor itu bagaimanapun tidak menamakan mana-mana individu ketika berkata demikian.




