Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Penyatuan ummah mungkin bertukar jadi penyatuan nasional

Projek kerjasama Umno dan PAS yang bertemakan perpaduan ummah mungkin akan ditukar kepada perpaduan nasional untuk menjadikan ia lebih inklusif kepada masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menurut sumber, dengan penggunaan kalimah "ummah" ada pihak dalam parti terbabit bimbang ia disalahertikan kepada agenda khusus untuk orang Islam semata-mata.

Sedangkan, katanya, kerjasama tersebut dibina dengan merangkumi rakyat Malaysia berbilang kaum.

"Penyatuan nasional mungkin menjadi tema baru bagi piagam kerjasama Umno dan PAS yang akan dimeterai pada 14 Sept nanti.

"Kedua-dua parti mahu agenda itu dilihat lebih inklusif dan tidak berfokus semata-mata kepada agenda untuk umat Melayu, Islam," katanya kepada Malaysiakini.

Pada 31 Ogos lalu, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan , memaklumkan pihaknya memutuskan untuk menukar tema penyatuan ummah - yang digunakan secara meluas ketika ini - kepada nama lain.

Menurut Mohamad, perkara itu diputuskan ekoran terdapat pertikaian berhubung tema tersebut, selain mahu menggambarkan penyertaan semua kaum di negara ini.

Akan jadi sejarah

"Ada orang kata 'ummah' itu hanya untuk orang Islam sedangkan ia hanya perkataan Arab untuk umat atau masyarakat.

"Kita ambil maklum pertikaian ini dan akan tukar tema itu adalam fasa kedua kelak," katanya dipetik Utusan Malaysia.

Sementara itu, Malaysiakini mendapatkan Anggota Majlis Tertinggi Umno, Tajuddin Abdul Rahman bagi mengesahkan tentang tema berkenaan.

Tajuddin bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenainya dan meminta supaya orang ramai menunggu pengumuman pada hari piagam berkenaan ditandatangani.


Baca Abdul Azeez sedia serah kerusi pada PAS


Bagaimanapun anggota parlimen Pasir Salak itu mengakui agenda kerjasama itu perlu dilihat lebih menyeluruh buat semua rakyat Malaysia.

"Kami mahu menyelamat rakyat Malaysia, bukan saja orang Melayu, tetapi semua bangsa dan agama daripada pentadbiran PH.

"Kami mempunyai agenda yang lebih luas untuk mewujudkan kesedaran rakyat Malaysia untuk bangkit dan bersatu.

"Dengan kata lain, perpaduan ummah itu tidak hanya berfokus kepada orang Melayu Islam semata-mata, tetapi untuk semua," katanya lagi.

Sementara itu, Naib Presiden PAS, Idris Ahmad, berkata pemimpin kedua-dua parti telah meneliti dan memuktamadkan kandungan piagam yang akan dimeterai 14 Sept nanti.

Katanya, perhimpunan itu akan menjadi sejarah negara apabila dua parti dominan orang Melayu dan penganut Islam bekerjasama secara rasmi.

Lihat Komen
ADS