Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Perjalanan kapal layar Najib dengan putera Arab dan lahirnya 'usaha sama'
Diterbitkan:  Sep 25, 2019 12:24 PM
Dikemaskini: Sep 26, 2019 10:16 AM

KES 1MDB NAJIB l Pada pertengahan tahun 2015, gambar Perdana Menteri Najib Razak bersama keluarganya dengan ahli perniagaan Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low, serta dua tokoh dari Asia Barat di sebuah kapal layar telah ditersebar di alam maya.

Sarawak Report kemudiannya menyiarkan gambar-gambar yang diperolehi daripada e-mel PetroSaudi International (PSI) yang dicuri oleh bekas pekerjanya, Xavier Andre Justo, yang secara tidak sengaja menjadi pendedah maklumat dalam skandal 1MDB itu.

Gambar-gambar berkenaan menunjukkan Najib bersama isterinya Rosmah Mansor dan anak-anak mereka, Norashman dan Nooryana Najwa, bersama-sama dengan Jho Low dan eksekutif PetroSaudi Prince Turki dan Tarek Obaid.

Menurut Sarawak Report, foto berkenaan dirakamkan semasa cuti musim panas di selatan Perancis pada bulan Ogos 2009.

Hari ini, seorang saksi dalam perbicaraan MDB Najib memberi keterangan mengenai perjalanan yang sama, yang menurutnya menyaksikan perjanjian 'usaha sama' 1MDB dengan PSI dibentuk.

Perjanjian itu akhirnya menyaksikan dana AS$1.83 bilion milik 1MDB diselewengkan.

Memberi keterangan sebagai saksi kesembilan pendakwaan, Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi berkata beliau dimaklumkan mengenai perkara itu oleh Jho Low.

“Jho ada memaklumkan kepada saya yang idea JV (usaha sama) ini telah dicetus dan dibincangkan dalam bulan Ogos 2009 semasa Najib bercuti di South France di atas sebuah yacht (kapal layar) bersama Putera Turki bin Abdullah.

 “Jho juga memaklumkan saya sebelum perbincangan itu, Najib ada bertemu dengan Raja Abdullah dan kedua-dua pemimpin tersebut telah bersetuju untuk membentuk JV yang bernilai AS$2.5 billion untuk pelaburan di kedua-dua negara.

“Jho juga menyatakan yang dia sendiri ada semasa perbincangan bersama Putera Turki tersebut dan Najib mengarahkan beliau untuk menguruskan dan memberi koordinasi di antara 1MDB dan PSI,” kata Shahrol di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Shahrol berkata, ini bersama surat bertarikh 28 Ogos 2009 dari PetroSaudi yang dialamatkan kepada Najib, yang merujuk kepada mesyuarat bulan Ogos 2009 antara Najib dan Putera Turki dan mencadangkan usaha sama, meyakinkan dirinya untuk meneruskan perjanjian itu.

Menjelang 2011, 1MDB telah menyuntuik kira-kira AS$1.83 bilion dalam usahasama PSI yang dikatakan dalam bentuk nota Murabaha dan berada di bawah tekanan untuk mendapatkan kembali wang itu.

Untuk itu, Shahrol berkata lembaga 1MDB, serta Najib, berjumpa dengan PSI di London.

“Semua ahli BOD (lembaga pengarah) hadir dan kami semua menginap di hotel Hilton Park Lane. Seingat saya, hotel ini dipilih kerana ia berhampiran dengan Four Seasons Hotel London di mana Najib menginap.

“Semasa kami di London, ada tiga mesyuarat berlainan iaitu mesyuarat BOD 1MDB di Hotel Hilton, mesyuarat PSI-1MDB-Najib di Hotel Four Seasons dan perjumpaan PSI-1MDB BOD termasuk makan tengahari di pejabat urusan PSI telah dilangsungkan,” katanya.

Hasil mesyuarat itu, Shahrol berkata 1MDB bersetuju untuk menggunakan nota Murabaha untuk membeli 49 peratus kepentingan dalam PetroSaudi Oil Services (PSOSL) - ekuiti itu kemudiannya dijual sebagai pertukaran untuk "unit dana" - oleh Bridge Partners International Investments Limited.

Siasatan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat ke atas 1MDB menggambarkan "unit dana" berkenaan sebagai "tidak bernilai".

Shahrol mendakwa beliau percaya, ini adalah idea yang baik ketika itu kerana berpendapat 1MDB boleh menghantar balik dana berkenaan ke Malaysia.

“Kerana penglibatan Jho Low sebagai trusted advisor kepada Najib, saya percaya yang Najib tahu dan setuju dengan cadangan ini yang memang bagi saya, satu penyelesaian yang elegant yang mendatangkan menafaat kepada 1MDB dan PSI serta hubungan antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi,” katanya.

Pertemuan Najib dengan Goldman Sachs

Shahrol, dalam keterangannya juga membangkitkan satu lagi mesyuarat Najib di Four Seasons Hotel, kali ini di New York pada 22 November 2009.

Shahrol berkata Najib telah berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs (Global) Llyod Craig Blankfein. Hadir sama adalah Jho Low dan Ketua Pegawai Eksekutif Goldman Sachs Asia Tim Leissner sebagai "fasilitator".

“Perjumpaan tersebut dibuat di suite Najib iaitu di Hotel Four Seasons, New York.

“Saya difahamkan oleh Jho Low bahawa pertemuan tersebut di antara lain adalah untuk membincangkan tentang kerjasama antara 1MDB dengan Goldman Sachs bagi pelaburan di luar negara.

“Najib memaklumkan kepada Llyod untuk meminta Goldman Sachs untuk support dan consult pelaburan-pelaburan 1MDB kerana kepakaran Goldman Sachs dalam bidang kewangan dan pelaburan,” katanya.

Atas sebab ini, Shahrol berkata beliau mempercayai untuk melibatkan Goldman Sachs dalam urusan 1MDB.

“Saya beranggapan bahawa pada masa itu, Perdana Menteri meminta Goldman Sachs untuk komited terhadap 1MDB.

“Bermula daripada pertemuan tersebutlah, apabila ada cadangan Jho Low untuk membawa masuk Goldman Sachs (Financial Advisor) ke dalam perundingan kewangan dan pelaburan 1MDB, saya beranggapan ia dibuat dengan pengetahuan Perdana Menteri.

“Saya menerima cadangan oleh Jho Low untuk menggunakan Goldman Sachs dengan good faith kerana pertemuan peringkat tertinggi telah dibuat antara Perdana Menteri dan CEO Goldman Sachs Global bagi kerjasama ini,” katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS