Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
‘Kes klip video seks iras menteri masih dalam siasatan’

Timbalan Ketua Polis Negara Mazlan Mansor mengulangi kenyataan ketuanya sebelum ini mengenai status video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali, yang masih dalam siasatan polis.

"Masih lagi dalam siasatan. Masih lagi pending investigation (siasatan belum selesai)," katanya apabila ditanya mengenai status siasatan video tersebut.

Awal bulan lalu, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador turut menyatakan siasatan video intim yang didakwa membabitkan timbalan presiden PKR itu masih berjalan.

Bekas ketua Pemuda PKR (AMK) Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz sebelum ini tampil mengaku sebagai salah seorang individu yang dipaparkan dalam klip video seks berkenaan dan mendakwa Azmin sebagai pasangannya.

Azmin walau bagaimanapun menafikan dakwaan itu dan menyifatkan tuduhan terhadapnya sebagai "komplot jahat" dari dalam parti untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Mengulas lanjut mengenai sama ada terdapat saksi lain yang dipanggil bagi merakam keterangan, Mazlan enggan memberi sebarang jawapan.

"Still pending investigation. I am not gonna to revise anything at the moment. (Masih belum selesai siasatan. Saya tak akan beritahu apa-apa buat masa ini)," katanya kepada pemberita hari ini.

Beliau berkata demikian selepas majlis penutupan Ijazah Sarjana Sains Sosial (pengajian kepolisan), Diploma Siswazah Sains Kepolisan (DSSK) dan Diploma Eksskutif Sains Siasatan (DESS) sesi 2017/2019 di Maktab Polis Diraja Malaysia, Kuala Lumpur.

Julai lalu, Abdul Hamid berkata Cybersecurity Malaysia mendapati bahawa meskipun klip video itu tulen, proses pengecaman wajah gagal mengaitkan dua individu yang dipaparkan melakukan aksi seks sejenis dalam klip video berkenaan.

Lihat Komen
ADS