Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Siapa calon PH di Tg Piai? Jawapan betul, menteri beri minyak sawit merah

PRK TG PIAI l Suasana kempen pilihan raya kecil Parlimen Tanjung Piai semakin rancak bukan sahaja dengan ceramah politik seperti lazimnya tetapi dengan pelbagai cara kreatif bagi menambat masyarakat setempat sekali gus memancing undi.

Bertempat di Bandar Pekan Nanas Baru malam semalam, Menteri Industri Utama Teresa Kok dalam interaksi dengan kira 400 hadirin berjaya menambat mereka. Sambil mengajukan soalan kuiz secara spontan dalam bahasa Mandarin, beliau menawarkan sebotol kecil minyak sawit merah bagi jawapan yang betul.

Ini berjaya menyaksikan masyarakat setempat begitu khusyuk mengikuti soalan dan mesej yang ingin disampaikannya.

Kok bermula dengan mengambil beberapa botol kecil minyak sawit merah dari sebuah beg mesra alam sebelum menyoal apakah khasiat minyak merah.

Seorang penduduk menjawab “Vitamin C”.

Kok berkata: “Bukan, bukan”. Selepas itu, dua lagi hadirin tampil menjawab “Vitamin A” dan “Vitamin E”.

“Betul,” kata Kok sambil menghadiahkan minyak sawit merah kepada mereka yang berjaya memberikan jawapan betul yang tersenyum gembira.

“Ini adalah produk Malaysia, dari Johor lah!” kata Kok sambil menunjukkan botol minyak sawit merah itu.

Beliau seterusnya menjelaskan minyak sawit merah adalah bagus untuk mata serta kesihatan jantung dalam dwibahasa Cina dan Melayu.

Kena minum lebih

Secara berseloroh, Kok menggalakkan ahli parlimen meminum minyak sawit merah untuk menjaga kesihatan sendiri.

“Ahli parlimen kena minum lebih, sekarang satu per satu masuk hospital. Kena jaga diri banyak-banyak.”

Kenyataan ini disambut gelak tertawa dari para hadirin.

Meskipun tidak menyebut sebarang nama, adalah jelas Kok merujuk kepada dua rakannya, ahli parlimen Nibong Tebal, Mansor Othman dan ahli parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith yang rebah di Dewan Rakyat, baru-baru.

Selain daripada khasiat minyak sawit merah, Kok juga menyelitkan soalan-soalan politik seperti jumlah kerusi yang dimiliki Pakatan Harapan di parlimen.

“Zuraida Kamaruddin adalah menteri apa?” soal Kok. Zuraida yang hadir kemudiannya melambai tangan dan memperkenalkan diri sebagan menteri perumahan dan kerajaan tempatan dalam Bahasa Cina.

Turut tidak terkecuali adalah “Siapakah calon PH di Tanjung Piai?”. Ramai yang terus mengangkat tangan untuk menjawabnya.

PRK Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya Dr Md Farid Md Rafik, 42, daripada PH pada 21 Sept lepas akibat komplikasi jantung.

Ia menyaksikan Karmaine menerima tentangan daripada calon BN Dr Wee Jeck Seng, calon Gerakan Wendy Subramaniam dan Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) Dr Badhrulhisham Abdul Aziz; serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Selain daripada Kok, Presiden PKR Anwar Ibrahim, Setiausaha Pengelola PKR Nik Nazmi Nik Ahmad, Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Bukit Mertajam Steven Sim, Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong juga menyampaikan ucapan masing-masing.

Pengerusi Pakatan Harapan Dr Mahathir Mohamad dijangka berkempen dan berucap malam esok.

Lihat Komen
ADS