Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Peguam: Tiada asas perundangan untuk halang Paul Yong kembali bertugas

Peguam yang terlibat dalam perbicaraan dakwaan rogol Adun Tronoh Paul Yong, hari ini berkata tiada asas perundangan yang menghalang Yong daripada meneruskan tugasnya sebagai exco kerajaan Perak.

"Dia masih boleh meneruskan tugasnya kerana belum disabit bersalah.

"Dari segi undang-undang, tiada apa yang salah dengan perkara itu," kata Gabriel Suyasan, yang menjadi antara peguam pemerhati bagi pihak ibu mangsa, ketika dihubungi Malaysiakini.

Hari ini Yong mengumumkan kembali meneruskan tugas sebagai exco, selepas perbincangan dengan Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu.

Komisi (Suruhanjaya) Nasional Antikekerasan Perempuan Indonesia berkata langkah itu berisiko mencetuskan trauma kepada wanita yang didakwa menjadi mangsa dalam kes itu.

"Ia perkara membimbangkan. Langkah itu seperti menunjukkan kurangnya empati kepada mangsa dan keadaannya," kata pesuruhjayanya Thaufiek Zulbahary.

"Perbicaraan sepatutnya dipercepat atau dibawa ke depan dengan proses sewajarnya. Diharapkan mangsa akan mendapat keadilan," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur berkata keutamaannya, bersama-sama kerajaan Malaysia, kekal untuk melindungi mangsa berusia 23 tahun dan memastikan akses keadilan kepadanya.

Wakil kedutaan Shabda Tia berkata, keadaan mental dan fizikal mangsa sudah pulih sejak kali pertama diselamatkan dan ditempatkan di rumah perlindungan.

"Alhamdulillah, kedaannya semakin baik, mental dan fizikal.

"Dia agak tidak gembira bila mahkamah tangguh perbicaraan. Tetapi dia hormati proses undang-undang dan keputusan hakim," katanya kepada Malaysiakini.

Wanita itu, yang dilindungi mengikut Akta Perlindungan Rasmi, dilaporkan memberi keterangan secara tertutup pada Isnin lalu.

Pada 14 November lalu, Mahkamah Sesyen Ipoh Norashima Khalid membenarkan perbicaraan yang pada mulanya dijadual semalam dan hari ini, ditangguhkan ke tarikh yang akan ditetapkan kemudian.

Ia selepas peguam Yong memfailkan notis usul untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi, mengikut Seksyen 417 Kanun Tatacara Jenayah.

Pada 23 Ogos lalu, Yong yang didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan merogol seorang pembantu rumah berusia 23 tahun di kediamannya di Meru, Perak.

Lihat Komen
ADS