Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Adakah PAS berhak buat fitnah sebab saya bukan Islam?’
Diterbitkan:  Nov 22, 2019 2:44 PM
Dikemaskini: 6:44 AM

Menteri Kewangan Lim Guan Eng mencabar Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man supaya meminta maaf kerana membuat dakwaan palsu dan fitnah jahat berhubung peruntukan Belanjawan 2020 sekiranya beliau seorang yang beretika dan bermoral.

Lim mengulas dakwaan cadangan pemimpin PAS itu supaya dirinya disingkirkan sebagai menteri kewangan kerana didakwa membuat pertimbangan yang tidak seimbang dalam memperuntukkan dana kepada negeri-negeri.

“Saya hendak menjawab fitnah jahat Tuan Ibrahim bahawa saya gagal sebagai menteri kewangan kerana, menurut beliau, daripada corak belanjawan negara, Pulau Pinang diperuntukkan RM10 bilion untuk pembangunan tetapi hab halal hanya diperuntukkan RM10 juta.

“Dakwaan ini sungguh tidak bertanggungjawab kerana tidak berasas dan tidak benar.

“Sekiranya disemak isi kandungan Belanjawan 2020 dengan betul, peruntukan untuk perbelanjaan pembangunan bagi Pulau Pinang ialah RM979.5 juta, bukannya RM10,000 juta.

“Manakala program/inisiatif berkaitan industri halal berjumlah RM125.2 juta, bukannya RM10 juta,” katanya dalam satu kenyataan.

Semalam, Tuan Ibrahim pada sidang medianya mendakwa peruntukan untuk hab halal adalah jauh lebih kecil daripada pembangunan Pulau Pinang.

Selain itu, katanya dana pembangunan untuk negeri-negeri Pantai Timur khususnya kepada Kelantan dan Terengganu yang di bawah pentadbiran PAS juga jauh lebih kecil berbanding negeri-negeri tertentu di bawah Pakatan Harapan.

“Ini (juga) adalah fitnah jahat yang membelakangkan fakta kerana negeri-negeri di bawah pemerintahan PAS seperti Kelantan diperuntukkan sebanyak RM1.5 bilion dan Terengganu sebanyak RM1.2 bilion.

“Ini merupakan peruntukan perbelanjaan pembangunan yang lebih besar daripada Pulau Pinang,” katanya.

Tuan Ibrahim juga dilaporkan berkat, jika kajian dalam talian dibuat hari ini, “dalam masa sejam pun berapa ribu orang sokong menteri kewangan ditukar.”

Mengulas kenyataan pemimpin PAS itu, Lim berkata, parti berkenaan memainkan sentimen yang selaras dengan pendirian dasar PAS bahawa warganegara bukan Islam tidak layak jadi menteri kabinet yang menentukan dasar kerajaan.

Ini, khususnya bagi jawatan penting seperti menteri kewangan dan ketua menteri, katanya.

Lim berkata, PAS kini rasa berani melaksanakan dasar dan sentimen sempit ini, selepas parti itu dan BN meraih sokongan kuat daripada pengundi Cina dalam pilihanraya kecil Tanjung Piai, minggu lalu.

“Sekiranya Tuan Ibrahim seorang yang beretika dan bermoral, beliau harus meminta maaf kerana membuat dakwaan palsu dan fitnah jahat sedemikian.

“Atau adakah pemimipin PAS berhak membuat fitnah jahat dan dakwaan palsu ke atas saya semata-mata kerana saya seorang bukan Islam yang tidak layak memegang jawatan menteri kewangan?” soalnya.

Isu rombakan kabinet timbul, apabila Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad, Rabu lalu berkata beliau sedang mempertimbangkan rombakan itu dan tidak menolak kemungkinan ini dilakukan sebelum Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (Apec) yang akan dihoskan oleh Malaysia pada November tahun depan.

Lihat Komen
ADS