Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Kejayaan BN di Tg Piai belum tentu bawa kemenangan pada PRU15'

Kemenangan besar BN pada pilihan raya kecil di Parlimen Tanjung Piai sabtu lalu sama sekali tidak mencerminkan mereka akan dapat mengekalkan keputusan cemerlang sedemikian pada pilihan raya umum ke-15 (PRU15) nanti, kata ketua penyelidik Ilham Centre, Mohd Yusri Ibrahim.

Menurut Mohd Yusri, ini kerana kedua-dua situasi bagi PRU dan PRK adalah berbeza, serta membabitkan kelompok pengundi besar, yang terdiri daripada golongan kelas pertengahan dan kelas tinggi.

Mereka ini, katanya, akan memikirkan isu-isu nasional seperti kes perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak dan bekas timbalannya, Ahmad Zahid Hamidi.

“Untuk PRU, mereka (pengundi) mengundi kerana negara. Mereka mengundi untuk beri mandat kepada kerajaan yang akan mentadbir mereka terutamanya kelas pertengahan dan ke atas mereka mengundi bukan sebab isu yang kecil.

"Mereka mengundi pada gagasan yang lebih besar,” katanya pada seminar pasca PRK Tanjung Piai di Universiti Malaya, Kuala Lumpur hari ini.

Keputusan pada 16 November lalu, menunjukkan calon BN Wee Jeck Seng mengalahkan wakil Pakatan Harapan (PH) Karmaine Sardini dengan majoriti sebanyak 15,086 undi. Dia memperolehi 25,466 undi, sementara Karmaine pula mendapat 10,380 undi.

“Walaupun 15,000 beza ia ketara tetapi bukan petunjuk utama BN akan menguasai Putrajaya dengan mudah. Banyak lagi permainan-permainan yang akan berlaku selepas ini,” kata Mohd Yusri.

Beliau berkata isu-isu nasional yang melibatkan salah guna kuasa pemimpin kanan BN ketika kempen di Tanjung Piai tidak dapat digunapakai kerana sewaktu PRK.

“PRK, pengundi mengundi pada situasi itu. Mereka mengundi untuk suara mereka didengar pada waktu itu.

“Jadi sebarang ketidakpuasan hati, sebarang ketidakselesaan akan diterjemahkan dalam PRK pada waktu itu. Mereka tidak kisah sebab kerajaan tak berubah.

“Dalam kes PRK, isu perbicaraan Najib, isu perbicaraan Zahid Hamidi tak relevan. Tapi bila menjelang PRU, isu ini kembali relevan.

“Sekiranya Zahid masih lagi mengemudi BN ataupun Muafakat Nasional ataupun akan menjadi perdana menteri, pada waktu itu (golongan) kelas pertengahan akan berfikir adakah ini orang yang akan kita mengundi beri kepercayaan untuk meneraju Malaysia semula sebagai perdana menteri?” katanya.

Untuk rekod, Najib telah diarah membela diri atas tujuh tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana RM42 juta milik syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC) manakala dalam kes 1MDB, beliau menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan jumlah yang sama.

Beliau juga sedang menghadapi perbicaraan pertuduhan meminda laporan akhir pengauditan 1MDB.

Timbalannya, Ahmad Zahid pula menghadapi 47 pertuduhan melibatkan jutaan ringgit dana Yayasan Akalbudi.

Mohd Yusri pada pembentangannya hari ini juga berkata beliau tidak mendapat petunjuk bahawa pengundi Cina sebenarnya menyokong BN mahupun Muafakat Nasional secara total. Sebaliknya, kata beliau mereka sebenarnya berbuat demikian kerana perasaan marah terhadap kerajaan dengan situasi sekarang.

Katanya, masyarakat Cina di Tanjung Piai merasakan suasana ketika ini tidak begitu kondusif untuk perniagaan.

“Jadi masyarakat Cina ni prihatin pasal bisnes. Jadi kalau masalah bisnes mereka akan salahkan kerajaan. Jadi itu yang berlaku di Tanjung Piai dan protes ini disusun dengan baik untuk diterjemahkan dalam undi,” katanya.

Lihat Komen
ADS