Paling Popular
Terkini

ULASAN | Dr Mahathir Mohamad mendedahkan beberapa ahli parlimen BN berjumpa Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali, kerana mereka telah hilang kepercayaan kepada Umno.

Begitulah Dr Mahathir dengan sandiwaranya yang tidak pernah berkesudahan. Kenyataan beliau itu dibuat hanya untuk satu tujuan utama, iaitu memporak-perandakan Umno setelah BN menang di Tanjung Piai.

Menyedari ditolak dengan jelas oleh pengundi Melayu dan Cina, Dr Mahathir mesti mencari jalan untuk mengurangkan tekanan terhadap beliau untuk melakukan peralihan kuasa.

Oleh itu, Dr Mahathir mesti mengalih tumpuan rakyat terhadap kegagalannya di Tanjung Piai.

Bagi beliau, menunaikan manifesto PH bukan keutamaan. Menimbulkan krisis dalam Umno itu lebih strategik. Kerana jika Umno itu berkrisis, maka Umno akan lemah.

Umno yang lemah akan menjadikan Muafakat Nasional dan BN juga lemah.

Jika ini berlaku, ia akan memenangkan PH dalam pilihan raya akan datang kerana Dr Mahathir tahu, parti yang berkrisis akan mengambil masa yang lama untuk pulih.

Umno tidak akan terpedaya dengan Dr Mahathir. Umno telah punya banyak pengalaman dan waras dalam perkiraan masa depannya. Umno akan mengambil jalan hikmah bagi mendepani Dr Mahathir.

Umno yang berkrisis

Lihat sahaja bagaimana Azmin diperkudakan oleh Dr Mahathir untuk mewujudkan konflik dalaman dalam PKR. Azmin diberikan perhatian oleh beliau bukan kerana beliau mahukan Azmin jadi pengantinya.

Semua orang tahu, Azmin mempunyai masalah dan hanya menunggu ketika sahaja untuk tersingkir. Tetapi beliau menyedari Azmin mempunyai kekuatan tersendiri, maka sangat strategik untuk mempergunakan Azmin bagi mengawal kemaraan Anwar dan melemahkan PKR.

Bagi Dr Mahathir, melemahkan PKR itu sangat penting. Ia adalah parti terbesar dalam Parlimen Malaysia dan ia mesti dikawal jika Bersatu ingin berkelangsungan.

Justeru Umno dan ahlinya mesti jangan terjerumus dalam permainan jijik Dr Mahathir. Beliau juga ingin melakukan strategi yang sama dengan Umno.

Beliau menggunakan tokoh tertentu yang mempunyai pengaruh untuk mewujudkan krisis dalam Umno. Dr Mahathir menyedari Umno gagal dilumpuhkan walau pelbagai cara dilakukan. Malah Umno semakin menguat dan menjadi semakin ampuh.

Satu-satunya jalan untuk melemahkan Umno ialah dengan mewujudkan krisis dalaman.

Umno yang berkrisis hilang wibawanya dalam kalangan orang Melayu. Oleh yang demikian, kita tidak boleh sama sekali membenarkan dalaman Umno itu bergolak.

Umno yang bergolak dan berkrisis akan memenangkan Dr Mahathir dan PH.


Baca MP Umno saling berbalas makian: Bangang! Bodoh!


Kita hanya ada satu tugas sahaja semenjak Umno tewas dalam PRU ke-14 lalu iaitu merawat, memulih dan membangunkan semula parti.

Urusan mengekalkan Dr Mahathir sebagai perdana menteri bukan urusan ahli parlimen Umno. Itu urusan Bersatu. Urusan menjemput tokoh PH menyertai Umno juga bukan juga urusan ahli parlimen Umno.

Tugas terpenting ahli parlimen Umno ialah menjadikan Umno pembangkang yang berwibawa di Parlimen Malaysia.

Hanya dengan menjadi pemain semak dan imbang yang berkesan, Umno dapat meyakinkan rakyat bahawa ia adalah pergerakan politik yang progresif.

Dalam politik, kedudukan kita tidak boleh sama sekali dipergunakan untuk kepentingan lain kecuali bagi parti, orang Melayu serta rakyat Malaysia.

Kerana itu, kita mesti mengenali samudera hikmah dalam perjuangan kita. Agar apa jua langkah dan perkiraan politik mesti bersandarkan hikmah dan pandangan jauh jua. Tanpa hikmah, tidak akan ada perjuangan sebenar.

Semoga kita terus yakin dan benar dalam perjuangan politik kita dan bertindak dengan penuh hikmah.


MOHAMED KHALED NORDIN ialah naib presiden Umno. 

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS