Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: PAS tetap teguh walau presiden tukar ganti

Presiden PAS Abdul Hadi Awang menjelaskan partinya masih teguh meskipun sudah hilang atau bertukar pemimpin beberapa kali.

Tambahnya, beberapa parti serpihan PAS telah "mati satu demi satu" dan Amanah akan menerima nasib yang sama.

“PAS pernah hilang beberapa presiden, sudah sembilan kali. Ada yang meninggal dunia, presiden yang meninggalkan parti, PAS terus konsisten.

“Bukan yang cuba-cuba nak pecahkan.. PAS terus kuat teguh, yang pecah itu mati satu demi satu dulu, parti Islah, parti Hamim (Hizbul Muslimin Malaysia), Berjasa (Barisan Jemaah Islamiah) dan Amanah akan terima nasib yang sama,” katanya kepada pemberita selepas program dialog NGO pelbagai kaum dan agama di sebuah hotel di Kuala Lumpur.

Beliau berkata demikian bagi menjawab kenyataan Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad yang meramalkan PAS akan kehilangan hala tuju jika Abdul Hadi tidak lagi menjadi pemimpin parti berkenaan.

Sementara itu, Abdul Hadi juga menyifatkan kenyataan Khalid hanya sebagai luahan perasaannya sahaja.

Untuk rekod, sebelum ini Khalid merupakan anggota jawatankuasa kerja (AJK) PAS pusat sebelum beralih dan menyertai parti Amanah.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang dalam majlis dialog NGO pelbagai kaum dan agama.

Selain itu, ditanya pemberita sekiranya hubungan Berjasa bersama PAS sudah pulih selepas pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai berakhir, Abdul Hadi menjelaskan itu semua terpulang kepada parti tersebut untuk menilai dirinya.

Katanya, setakat ini masih tiada perjumpaan yang dilakukan di antara kedua parti berkenaan.

“Terpulang Berjasa nilai diri dia sendiri, sehingga kini tiada pertemuan kita sudah nasihat jangan tanding dia tanding juga.

“Kita tengok setiausaha agung (Takiyuddin Hassan) nak buat (perjumpaan) ke tidak,” katanya.

Terdahulu, presiden Berjasa Badrulhisham Abdul Aziz yang bertanding di Tanjung Piai yakin bahawa hubungan partinya bersama PAS akan kembali kukuh selepas PRK berkenaan.

Berjasa juga masih mahu kekal berada dalam Gagasan Sejahtera bersama PAS, katanya.

Untuk rekod, Gagasan Sejahtera adalah blok gabungan parti politik ketiga dan diwujudkan pada 2016 dengan keanggotaan PAS, Berjasa dan Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).

Berjasa sebelum ini berkata mereka mengambil keputusan bertanding kerana PAS dan Umno tidak menghiraukan gesaan mereka untuk meletakkan calon Melayu di kawasan tersebut.

Pada PRU14, calon Berjasa, Nordin Ahmad bertanding di kerusi Tanjung Piai atas tiket PAS dan memperoleh 2962 undi dan pada pilihan raya kecil baru-baru ini, Berjasa cuma meraih 850 undi lantas hilang wang deposit.

Lihat Komen
ADS