MIC dakwa Ramasamy hasut perobohan kebun di Cameron Highlands
Setiausaha Agung MIC M Asojan membidas kenyataan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang P Ramasamy berhubung pengusiran pekebun sayur haram di Cameron Highlands.
Beliau berkata tindakan berkenaan adalah atas "hasutan dan kegilaan kuasa" oleh Ramasamy yang menyebabkan apa yang terjadi hari ini.
Merujuk secara langsung dengan tulis Ramasamy di Malaysiakini versi bahasa Inggeris - BN’s treachery cause of demolition of farms in Cameron Highlands - Asojan berkata tuduhan Ramasamy itu tidak lain hanyalah "pembohongan secara terang-terangan".

"Artikel itu secara langsung menggambarkan MIC yang menipu para petani untuk menarik balik injunksi sementara yang diperolehi mereka sebelum ini terhadap perintah pengusiran oleh kerajaan negeri Pahang dengan meyakinkan para petani bahawa MIC akan memastikan penyelesaian secara baik," kata Asojan dalam satu kenyataan hari ini.
"Kami ingin menyatakan bahawa MIC tidak terlibat langsung dengan keputusan petani untuk menarik semula injunksi pada 30 Sept itu. Kami mempunyai bukti dari salah seorang petani yang memfailkan kes itu dan kemudian menarik balik injunksi berkenaan sendiri tanpa campur tangan oleh MIC."
Sehubungan itu, Asojan menuntut Ramasamy supaya menarik balik dakwaannya terhadap MIC dengan serta-merta tanpa syarat, dan kegagalan berbuat demikian akan menyaksikan pihaknya memfailkan saman fitnah terhadap pemimpin DAP tersebut.
Semalam, tujuh orang, termasuk bekas ahli parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan, ditahan polis dalam tunjuk perasaan bagi membantah perobohan kebun sayur haram dan struktur bangunan di di kawasan tadahan air Kuala Terla di Cameron Highlands.

Adun Tanah Rata Chiong Yoke Kong menganggarkan 300 ekar ladang dan tanah dibersihkan dalam operasi semalam di Sungai Ichat, Kuala Terla.
Beliau menggesa kerajaan negeri untuk menempatkan semula petani sebelum mengambil tindakan.
Mengulas lanjut, Asojan berkata Ramasamy tidak harus menjadikan apa yang berlaku sebagai gimik politik demi mempopularkan dirinya dan mencari publisiti.
"Sebenarnya, hasutan dan kegilaan kuasa kamu yang menyaksikan kemarahan petani hari ini, Ramasamy."
Asojan mendakwa bahawa semasa kempen pilihan raya kecil Cameron Highlands pada Januari lalu, pemimpin Pakatan Harapan, terutama dari DAP, berjanji bahawa kerajaan persekutuan akan melindungi petani.

"Kamu (Ramasamy) yang mendorong petani untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan negeri, sementara MIC berusaha untuk mendapatkan penyelesaian ‘menang-menang’ untuk membantu mereka."
Tindakan perobohan itu dijalankan oleh Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands dengan dibantu beberapa agensi termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Pada 7 September lalu, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika meninjau kawasan tadahan air Kuala Terla khususnya di Sungai Ichat bertitah agar pencerobohan di lokasi berkenaan dihentikan segera.






