Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
WRP Asia dedah ambil lebih 1,000 pekerja asing secara tak sah

Pihak pengurusan pembuat sarung tangan, WRP Asia Pasific Sdn Bhd hari ini mendedahkan bahawa di kalangan kakitangannya terdapat 1,178 warga asing pemegang permit kerja kepada syarikat-syarikat yang telah dibubarkan serta terkait dengan seorang bekas ahli lembaga pengarah syarikat itu.

Walaupun dengan status pekerjaan tidak sah, peguam yang bertindak bagi pihak pengurusan semasa WRP Asia mengesahkan bahawa semua tunggakan gaji mereka akan dibayar sepenuhnya pada minggu depan.

"Dengan tindakan pantas untuk memulakan pembayaran kepada para pekerja, kami sedang menunaikan janji untuk menghidupkan semula WRP.

"Ini termasuk menyelesaikan tunggakan gaji kepada 1,178 pekerja asing yang diambil secara tidak sah (oleh WRP) ..." kata Mathew Thomas Philip, peguam kepada WRP Asia Pacific, dalam kenyataan hari ini.

Sumber berkata pekerja di syarikat itu pada asalnya diambil bekerja oleh dua syarikat lain dan permit mereka kekal atas nama kedua-dua syarikat yang telah dibubarkan tersebut. Ini mengakibatkan pertikaian terhadap status mereka sebagai pekerja WRP Asia.

Bertentangan dengan kenyataan peguam hari ini, Malaysiakini difahamkan bahawa audit bebas yang diarahkan oleh WRP Asia pada tahun lepas merekodkan sejumlah 1,603 pekerja asing.

Dari angka tersebut, warga Bangladesh dan Nepal menyumbang 75 peratus daripada pekerja, menurut satu salinan laporan audit yang dilihat oleh Malaysiakini.

Laporan audit itu juga menyatakan bahawa 1,066 pekerja dibekalkan kepada WRP Asia oleh dua kontraktor, yang menurut sumber, adalah dua syarikat sama yang dirujuk dalam kenyataan peguam hari ini.

Pakar hak pekerja asing antarabangsa Andy Hall, yang telah memantau perkembangan di WRP Asia, berkata pendedahan hari ini telah menimbulkan persoalan lebih besar yang mesti dijawab sebagai sebahagian daripada pembaharuan undang-undang buruh.

"Akhirnya telah diakui bahawa 1,178 pekerja tidak sah kini bekerja di WRP.

"Persoalannya sekarang yang perlu ditanya kepada pihak-pihak berkuasa, bagaimana ia boleh dibenarkan berlaku?" tanya beliau.

"Kerajaan jelas menyedari, dan juruaudit juga sedar.

"Pekerja-pekerja ini berisiko tinggi menjadi mangsa buruh paksa," tegasnya.

'Banyak isu tertunggak'

Sementara itu, Thomas Philip mengulangi komitmen pihak pengurusan untuk memulihkan operasi WRP Asia yang telah digantung sementara sejak 30 Disember.

"Walaupun semua pihak menginginkan perkara-perkara diselesaikan dengan segera, terdapat banyak masalah tertunggak yang dicipta oleh pengurusan terdahulu yang akan mengambil masa untuk didedahkan dan diselesaikan.

"Ini telah dijangkakan dalam proses penstrukturan korporat dan kami tidak akan membiarkan pelbagai khabar angin dan rintangan mengalih perhatian kami dari isu sebenar," kata Thomas Philip.

"Kami perlu memberi tumpuan kepada masa depan, dimana kami sekarang telah memulakan tugas yang mencabar untuk membina semula syarikat tersebut," katanya.

Tambahnya, pengurusan WRP juga berbincang untuk menyelesaikan isu termasuk bayaran tunggakan utiliti, merundingkan semula tempoh pembayaran dengan pemiutang dan menjadualkan penghantaran kepada pelanggan sedia ada.

Sumber memberitahu Malaysiakini bahawa bil elektrik yang terhutang sehingga hari Selasa adalah berjumlah RM4.1 juta.

Pada Januari 2019, pekerja WRP Asia Pasific mengadakan mogok selama tiga hari menuntut gaji mereka.

Pada bulan Oktober tahun lalu, Unit Kastam dan Sempadan AS mengharamkan WRP Asia Pasific daripada mengeksport produknya ke Amerika Syarikat atas kecurigaan buruh paksa.

Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran sebelum ini mengatakan kementerian sedang memantau perkembangan di WRP Asia, termasuk untuk memastikan pematuhan semua syarat di bawah akta kerja.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS