Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lupakan bazar Ramadan, titah sultan Johor
Diterbitkan:  Apr 2, 2020 11:40 AM
Dikemaskini: 5:44 AM

Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah agar rakyat melupakan bazar Ramadan buat masa ini ekoran ekoran perkembangan semasa wabak Covid-19.

Titah baginda, penganjuran bazar Ramadan adalah tidak sesuai memandangkan risiko berlakunya kontak rapat adalah amat besar di bazar Ramdan, sedangkan kes positif Covid-19 masih dilaporkan berlaku.

“Maka saya melihat adalah tidak sesuai jika mahu diadakan bazar Ramadan bukan sahaja di sini, malah ditempat lain juga demi kesihatan serta keselamatan rakyat.

“Lupakan bazar Ramadan, saya bimbang jika berlaku penularan virus berkenaan secara berleluasa, ini akan turut memberi kesan kepada usaha kerajaan dalam membasmi sepenuhnya wabak ini,” baginda dipetik bertitah seperti di Facebook rasminya.

 Sebelum ini, beberapa negeri seperti Kedah dan Selangor telah memutuskan untuk membatalkan penganjuran bazar Ramadan yang sinonim dengan bulan puasa dan menjadi pesta membeli makanan di kalangan rakyat untuk setiap tahun, terutamanya buat penganut Islam.

Kementerian Wilayah Persekutuan pula belum membuat keputusan untuk meneruskan atau menghentikan bazar Ramadan, dan akan mendengar taklimat pihak berkuasa tempatan dahulu sebelum membuat keputusan mengenainya.

Selain itu, Sultan Ibrahim turut meminta rakyat tidak memandang ringan dan akur akan nasihat pihak berkuasa.

“Anda lihat sendiri, bagaimana petugas-petugas perubatan bersama pasukan barisan hadapan bertugas dari pagi hingga malam dalam usaha mahu membendung penularan wabak ini.

“Bayangkan, jika wabak ini semakin berleluasa ia akan turut memberi kesan kepada pasukan perubatan sehingga merencatkan sistem rawatan,” titah baginda lagi.

Negara kini sedang dalam penguatkuasaan perintah kawalan pergerakan (PKP) sejak 18 Mac hingga 14 April depan bagi membendung penularan wabak Covid-19 yang setakat ini menjangkiti 2,908 orang dan meragut 45 nyawa.

Seramai 102 orang kini dirawat di unit rawatan rapi (ICU) manakala 645 orang lagi sudah pulih dan dibenarkan keluar hospital.

Kini, PKP sudah masuk fasa kedua sejak semalam dengan penguatkuasaan lebih ketat.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

Lihat Komen
ADS