Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

ULASAN l Petang semalam saya ada baca, pemimpin DAP, Liew Chin Tong tulis tindakan saya menegaskan pendirian kerajaan untuk tidak berunding dengan Filipina menjijikkan. Beliau juga minta saya letak jawatan kerana jadikan hal ehwal antarabangsa sebagai isu pilihan raya.

Biar saya bantu terangkan untuk Liew supaya lebih berhati-hati sebelum beliau tulis sesuatu kenyataan selepas ini.

27 Julai: Isu tuntutan Sabah yang terbaru ini timbul apabila Setiausaha Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr memuatnaik tweet, “Sabah is not in Malaysia if you want to have anything to do with the Philippines”. (Sabah bukan sebahagian daripada Malaysia jika anda ingin berurusan dengan Filipina).

29 Julai: Saya telah bidas Teodoro Locsin dengan mengatakan dakwaan beliau tidak bertanggungjawab dan menegaskan, “Sabah merupakan dan akan sentiasa menjadi sebahagian daripada Malaysia”.

3 Ogos: Seperti yang saya arahkan, Duta Filipina ke Malaysia telah diminta hadir ke Wisma Putra bagi menjelaskan perkara sebenar di sebalik dakwaan Teodoro.

5 Ogos: Menerusi Penggulungan Perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat, saya sekali lagi tegaskan, Malaysia tidak akan layan apatah lagi penuhi tuntutan mana-mana pihak ke atas Sabah dan Sabah milik Malaysia selamanya.

17 Ogos: Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan 26 September sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

24 Ogos: Saya sekali lagi suarakan ketegasan bahawa tiada sesiapa boleh persoal – Sabah selamanya milik Malaysia.

Ini bagi menjawab soalan media berhubung cadangan Jawatankuasa Dewan Luar Negara Filipina Dalam Meluluskan Rang Undang-Undang Dewan 6399 Yang Mencadangkan Kemasukan Wilayah Sabah Dan Zon Ekonomi Ekslusif (EEZ) Ke Dalam Peta Pada Muka Hadapan Pasport Negara Filipina.

27 Ogos: Timbalan saya, Kamaruddin Jaafar sekali lagi menegaskan di Kamar Khas Parlimen pendirian Malaysia berhubung isu kedaulatan Sabah yang amat jelas dan konsisten - tidak akan sesekali layan atau iktiraf tuntutan mana-mana pihak asing ke atas Sabah.

Cuba tengok semua tarikh ini dan tanya, sepanjang 27 Julai hingga 27 Ogos ada tak pembangkang bidas Teodoro Locsin? Atau ada tak Liew sendiri buat kenyataan yang menyokong tindakan saya dan timbalan menteri pertahankan Sabah?

Kalau Liew hendak tuduh saya gunakan isu ini sebagai modal pilihan raya, cuba tanya Ketua Menteri Sabah, Shafie Afdal dahulu, kenapa hanya pada 28 Ogos iaitu selepas tarikh PRN Sabah ditetapkan SPR baru Shafie tiba-tiba hendak cadang agar kerajaan runding dengan Filipina?

Jadi, sebenarnya siapa cuba jadikan isu ini sebagai modal pilihan raya?

Sebagai menteri luar, tentunya saya perlu respon terhadap cadangan Shafie agar tidak timbul kekeliruan. Media juga minta saya respon. Takkan Liew hendak saya berdiam? Ke masa jadi timbalan menteri pertahanan dahulu, Liew memang suka berdiam?

Lebih saya kecewa, tindakan saya pertahan kedaulatan Sabah dianggap sebagai jijik. Ini saya tak nak komen. Biarlah rakyat sendiri lihat dan nilai tahap pemikiran pemimpin pembangkang.


HISHAMMUDDIN HUSSEIN ialah menteri luar dan bekas naib presiden Umno.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS