Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Berikut adalah lokasi dilaporkan terjejas Covid-19 hari ini dan telah disahkan.

Bagaimanapun, senarai ini tidak termasuk lokasi yang ditutup sementara menunggu keputusan ujian individu dalam siasatan.

Lokasi-lokasi ini juga telah disanitasi.

Malaysiakini akan mengemas kini senarai ini sekiranya ada lokasi baru diumumkan.

Sekiranya anda mengetahui lokasi yang diumumkan hari ini tetapi tidak disenaraikan di sini, sila hantarkan e-mel ke [email protected].

Untuk senarai lokasi yang terjejas dalam 30 hari sebelum ini, sila lawati laman penjejak Covid-19 yang dibangunkan Kini News Lab.


Premis perniagaan

  • AEON Bukit Tinggi, Klang

Pengurusan gimnasium Fitness First Platinum dalam kompleks beli-belah itu mengeluarkan notis untuk memaklumkan seorang pelanggannya dikenal pasti positif Covid-19, menurut Sinchew Daily.

Gimnasium itu telah ditutup sehingga satu tempoh yang akan diberitahu kelak.

  • Machines, Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur

Machines memaklumkan seorang pekerja di premis berkenaan telah diuji positif Covid-19.

Kali terakhir dia berada di premis itu ialah pada 8 Okt lalu.

Semalam, Mid Valley Megamall memaklumkan seorang pekerja London Sales Cosmetics, yang merupakan salah satu kedai di pusat membeli-belah berkenaan, juga positif Covid-19.

  • Bank MBSB, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur

Seorang pekerja bank yang terletak di Kenanga International, Jalan Sultan Ismail telah dijangkiti Covid-19.

Cawangan itu ditutup untuk kerja pembersihan hari ini, sementara mereka yang menjadi kontak rapat individu itu diarah untuk bekerja di rumah.

  • Restoran Anak Mami (Bundusan), Penampang

Pejabat Kesihatan Penampang dalam satu notis menggesa mereka yang makan di restoran itu sejak 24 Sept hingga 5 Okt untuk menghubungi pejabat kesihatan di talian 088-722 857 or 011-6411 9704.

  • Maybank Puchong Prima dan Maybank Bandar Puteri Puchong

Kedua-dua cawangan ini ditutup sementara untuk kerja pembersihan selepas kemungkinan didedahkan dengan virus melalui "pihak luar", kata pengurusan.


Sekolah

  •  SMK Bintulu , Sarawak

Bernama memetik Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak hari ini yang memaklumkam SMK Bintulu ditutup selama tujuh hari dari 10 hingga 16 Okt setelah kes Covid-19 dikesan di sekolah itu.

  • SMK USJ 12, Subang Jaya

Seorang pelajar disahkan positif Covid-19 pada 9 Oktober.

Menurut jurucakap PIBG, kerja pembersihan dan nyahkuman dilakukan pada hari sama dan sekolah dijangka akan melakukannya sekali lagi dalam masa terdekat.

Sekolah itu pada masa ini ditutup sehingga 25 Oktober. Ia terletak dalam daerah Petaling yang diklasifikasi sebagai zon merah.

  • IQ Care Centre, Seri Kembangan

Seorang pelajar di prasekolah ini disahkan positif, kata pihak sekolah kepada ibu bapa dalam notis yang dihantar pada 10 Okt lalu.

Kakak kanak-kanak itu merupakan pelajar SMK Seri Kembangan yang diuji positif wabak berkenaan sebelum itu.

  • SM AU Keramat, Kuala Lumpur

Pengurusan sekolah dalam satu notis mengatakan sekolah ditutup sehingga 18 Oktober untuk kerja pembersihan dan nyahjangkitan.

Penutupan disahkan Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur ketika dihubungi hari ini. Ia bagaimanapun tidak dapat mengesahkan jika ada kes positif di sekolah itu.

Terdahulu, dilaporkan ada dua kes positif di Jalan AU 2A, Taman Seri Keramat.

  • SJKC Jenjarom, Banting, Selangor

Sekolah ini ditutup selama 14 hari - bermula 12 hingga 25 Oktober - selepas ahli keluarga seorang murid dikenal pasti positif Covid-19. Difahamkan murid itu turut disyaki dijangkiti virus itu.

Ujian swab telah dibuat dan sedang menunggu keputusan.


Kawasan kediaman

  •  Taman Pinang Jaya, Bukit Pinang, Kedah

Jabatan Kesihatan Kedah memaklumkan satu kes telah dikesan di kawasan perumahan berkenaan yang terletak di daerah Kota Setar.

  • Kampung Padang Che Mas Dalam Wang, Pulai

Jabatan Kesihatan Kedah memaklumkan tujuh kes telah dikesan di kampung berkenaan, yang terletak di daerah Baling.

  • Taman Ambar, Alor Setar dan Taman Tunku Putra, Kulim

Ada satu kes positif di kedua-dua taman ini, menurut Jabatan Kesihatan Negeri Kedah di Facebook.

  • Damansara Perdana, Petaling Jaya

Seorang lelaki yang tinggal di Blok A Armanee Terrace Condominium di Damansara Perdana, diuji positif Covid-19 pada 6 Okt.

Menurut notis yang dihantar oleh pihak pengurusan kondominum berkenaan kepada semua penduduk, lelaki itu dan isterinya pulang dari Sabah pada 1 Okt. 

Kedua-duanya diberitahu agar berada di unit kediaman mereka sejak itu sehingga keputusan menunjukkan lelaki berkenaan positif Covid-19. Dia dijemput dengan ambulans oleh pihak hospital.

Isteri lelaki tersebut bagaimanapun diuji negatif. Pihak pengurusan kondominum juga telah melakukan kerja -kerja sanitasi di kawasan blok berkenaan.

[Berita lanjut menyusul]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS