Pengembaraan yang sunyi

Untuk lari daripada perang, penganiayaan, penindasan, dan bahaya-bahaya lain, ratusan kanak-kanak mengharungi perjalanan berbahaya melalui jalan laut, udara dan darat untuk sampai ke pesisir pantai Malaysia.

Kebanyakan daripada mereka berusia antara 13 ke 17 tahun, tetapi ada juga yang semuda lima tahun.

Sebahagian daripada mereka mempunyai saudara mara atau rakan kepada keluarga yang menunggu mereka di sini, tetapi menurut data Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR), kira-kira 800 daripada mereka benar-benar datang bersendirian.

Mereka dibiarkan untuk menjaga diri sendiri di negara asing yang namanya tidak pernah pun kebanyakan mereka dengar, sebelum saat mereka dihantar ke sini demi mengharapkan keselamatan.

Terdedah dengan penindasan dan eksploitasi, mereka merupakan populasi pencari suaka yang kewujudannya tidak diketahui oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Anak-anak kecil ini tidak mempunyai banyak jalan untuk bersekolah secara formal, oleh itu mereka menjadi buruh kanak-kanak dan berdepan risiko ditahan oleh pihak berkuasa imigresen kerana di bawah undang-undang Malaysia, pencari suaka tiada bezanya dengan pendatang tanpa dokumen.

Yang bernasib baik, bertemu dengan pertubuhan-pertubuhan yang membantu memberikan mereka tempat berteduh, pendidikan dan keluarga angkat yang akan menjaga mereka sehingga berusia 18 tahun. Atau mereka berpeluang mendapat penempatan semula di negara lain oleh UNHCR. Namun oleh kerana kekangan dana yang dihadapi NGO, bukan semua anak-anak ini akan berjaya mendapat peluang sebegitu.