Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Khaled: Semua boleh sertai MN, termasuk Dr M, Amanah, DAP
Diterbitkan:  Jan 2, 2021 10:01 AM
Dikemaskini: 2:22 AM

Muafakat Nasional satu wadah penyatuan penting yang boleh disertai semua termasuk Amanah atau bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad mahupun DAP, kata Naib Presiden Umno Khaled Nordin.

Khaled dipetik Sinar Harian semalam berkata hal ini asalkan semua pihak yang menyokong MN bersetuju dengan gagasan gabungan politik itu.

"Apa yang paling penting mereka perlu setuju teras politik negara ini adalah orang Melayu dan orang Melayu sebagai teras dalam masyarakat majmuk negara ini.

"Muafakat Nasional tidak terhad kepada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sahaja.

"Sesiapa pun boleh sokong Muafakat Nasional, ini termasuk DAP tetapi mereka kena bersetuju teras politik tersebut," katanya pada Jumaat ketika merasmikan mesyuarat Wanita Umno Bahagian Pasir Gudang.

Pagi ini, Umno Bahagian Pasir Gudang yang diterajui Khaled sedang bermesyuarat.

Semalam, pemimpin kanan Umno menyarankan agar parti itu membuat keputusan berani dengan menamatkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN).

Tidak cukup dengan itu, Timbalan Pengerusi Umno Johor Nur Jazlan Mohamed (gambar, bawah) juga menyarankan parti itu mengkaji semula hubungan kerjasama mereka dengan PAS dalam Muafakat Nasional (MN).

Katanya Umno Pulai - yang diketuainya ketika ini - akan memulakan langkah mendesak itu dengan mengemukakan usul terbabit.

“Usul sedemikian akan turut dibuat di peringkat Umno bahagian lain, bukan sahaja di Johor, tetapi di seluruh negara," katanya.

Dalam perkembangan sama, Khaled Nordin juga dipetik Sinar Harian berkata, MN berfungsi seperti biasa walau belum didaftarkan lagi

"Kita memang tidak daftar dan ini bukan perkara baru, kita pun dah menang dalam 17 pilihan raya sebelum ini. Memang dari dulu ada perbincangan sama ada nak daftar atau tidak daftar, itu soal kedua.

"Kalau Muafakat Nasional berdaftar sudah jadi satu parti politik. Ini dari awal semua sudah menyatakan, tidak ada niat nak mewujudkan (Muafakat Nasional sebagai parti politik), walau apa bentuk Muafakat Nasional, tidak akan ada yang bertanding melalui Muafakat Nasional.

"Apabila berdaftar dan menjadi parti politik ia akan terhad. Kita tidak bergantung kepada pendaftaran," katanya.

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah pada 30 DIs lalu mendedahkan usaha pendaftaran Muafakat Nasional (MN) menghadapi sedikit masalah kerana dia difahamkan nama itu sudah digunakan oleh pihak lain.

"Saya difahamkan ada usaha-usaha untuk daftarkan, tetapi tidak dapat didaftar kerana nama itu sudah orang lain guna.

"Nama (MN) itu sudah ada dalam pendaftaran ROS (Jabatan Pendaftaran Pertubuhan), tak tahu macam mana, itu yang saya difahamkan.

"Sebab itu kita tak boleh daftar, kalau nak daftar kena ada perubahan nama," katanya kepada media selepas mesyuarat exco kerajaan Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Sebagai rekod, Setiausaha Agung BN Annuar Musa sebelum ini dilaporkan pendaftaran MN akan memakan masa sebelum didaftarkan dengan ROS.

Ini kerana katanya, pimpinan gabungan itu perlu menguruskan bagi kerja-kerja prapendaftarannya.

Lihat Komen
ADS