Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
‘Umno Sdn Bhd’ - Isham Jalil bidas Annuar Musa

Ketua Penerangan BN Selangor Isham Jalil menyarankan supaya Annuar Musa lebih menumpukan perhatian dalam usaha membantu kerajaan dalam menurunkan penularan wabak Covid-19 berbanding sibuk berpolitik.

Isham yang juga bekas pegawai khas kepada Najib Razak merujuk kepada dakwaan bekas setiausaha agung BN yang disingkirkan itu berkenaan terdapat pemimpin Umno yang ingin “mensendirian berhadkan” parti.

“Sebagai seorang sahabat, saya sarankan supaya sebagai menteri kabinet, Tan Sri Annuar Musa lebih fokus untuk membantu kerajaan mencari jalan menurunkan penularan wabak Covid-19 yang kini sedang mencanak naik akibat keputusan-keputusan salah yang dibuat oleh kerajaan sebelum ini.

“Dan bukannya sibuk berpolitik menyerang rakan-rakan sendiri dalam parti umpama cuba untuk memecahbelahkan Umno dan memberi kelebihan kepada parti lain iaitu Bersatu pula,” katanya dalam hantaran di Facebook semalam.

Annuar sebelum ini berkata pihak tertentu dalam parti tidak perlu menakut-nakutkan ahli parti dengan menyuruh mereka melindungi Umno daripada daripada “dibersatukan” dan “dipaskan”.

Isham berkata rata-rata akar umbi Umno menolak kerjasama dengan Bersatu, ketika mesyuarat perwakilan di peringkat cawangan dan bahagian baru-baru ini.

“Dalam penulisan beliau tersebut, nampak jelas bahawa Annuar Musa begitu terasa terhadap sentimen akar umbi dan juga pendirian ramai pemimpin parti dari peringkat cawangan sehinggalah ke majlis tertinggi yang tidak bersetuju dengan beliau dan sudah boleh baca akan niat beliau dan melihat beliau sedang gigih cuba untuk menjual Umno kepada Bersatu,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS