Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Azalina minta RUU antilompat parti dibentang segera

PARLIMEN | Ahli Parlimen Pengerang Azalina Othman Said meminta agar rang undang-undang antilompat parti dibentangkan di Dewan Rakyat dengan secepat mungkin.

Bekas timbalan speaker Dewan Rakyat itu, berkata akta itu perlu diwujudkan dengan segera kerana amalan parti bukan saja tidak adil kepada rakyat, tetapi juga terhadap parti politik yang telah berbelanja besar bagi perolehan data dan hal-hal lain ketika PRU.

“Tak semestinya yang lompat tu sebab dia (ahli parlimen) nak lompat, tapi kadang-kadang sebab kena paksa, sebab kena pecat. Macam orang bercerai.. sebab itu dalam Islam bila cerai, ada masa idah lepas gugur talak.

"Jadi berkenaan RUU pemecatan ahli parlimen ini, biarlah referendum dibuat kepada rakyat untuk tentukan wakil rakyat yang lompat itu diganti atau tidak.

“Saya minta tolong perdana menteri dan Santubong (menteri bertanggungjawab soal undang-undang, Wan Junaidi Tuanku Jaafar) untuk beri laluan fast track kepada RUU saya untuk didebatkan dan diambil alih oleh kerajaan sebagai asas kepada Akta Antilompat Parti dan Pemecataan Ahli Parlimen 2021," katanya ketika perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat hari ini.

Azalina berkata undang-undang itu akan menjadikan Parlimen Malaysia lebih berwibawa.

Ia kemudian dicelah oleh Azizah Mohd Dun (Beaufort-Bersatu) yang merupakan ahli parlimen Umno dan melompat parti selepas parti itu kalah dalam PRU14.

“Macam mana pula dengan mereka yang nak lompat juga tapi ada sebab tertentu tapi tak jadi lompat?” soal Azizah kepada Azalina.

Azizah Mohd Dun 

Azalina kemudian menjawab secara sinis bahawa oleh sebab itulah RUU yang dicadangkannya itu mempunyai mekanisme yang merujuk kepada isu sedemikian.

“Sebab tu dalam Islam bila bercerai tak boleh ikut hati… Tukang cucuk ramai, tukang kipas lagi ramai.

“Maksud saya banyak alasan nak lompat (parti). Sebenarnya mekanisme yang saya cadangkan merujuk kepada elemen parti dalam gabungan.

“Sebab tak semestinya yang pergi (individu lompat parti) itu atas alasan hanya sebab nak lompat… Mungkin sebab kena pecat atau berlaku disebabkan kerajaan gabungan.

Gambar hiasan

Katanya, kuasa perlu diberikan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melakukan referendum melalui petisyen daripada rakyat, sama ada ahli parlimen yang melompat itu perlu kosongkan kerusi dan lakukan pilihan raya semula atau kekalkan mereka di kerusi tersebut.

“Bila orang bertanding, dia bukan bertanding seorang diri. Kalau dia mewakili parti, kos parti itu lebih tinggi daripada kos pilihan raya - persediaan, nama-nama calon, nama-nama jentera. Bukan saja itu, termasuk juga data-data yang digunakan untuk pilihan raya.

“Jadi ini tidak berlaku adil bukan sahaja kepada parti tetapi yang lebih penting tidak adil kepada rakyat,” katanya.

Lantik menteri undang-undang sebagai peguam negara

Sementara itu, Azalina turut mencadangkan supaya menteri undang-undang boleh dilantik sebagai peguam negara.

Ini supaya peguam negara boleh ke sidang Dewan Rakyat bagi menjawab soalan-soalan daripada berkaitan perundangan dengan jelas dan lengkap.

“Saya nak cadangkan kepada kerajaan kalau menteri undang-undang boleh respons bahawa kita pernah mempunyai seorang menteri kabinet yang juga peguam negara iaitu arwah Tan Sri Kadir (Yusof) dan Tan Sri Hamzah (Abu Samah).

“Jadi sekurang-kurangnya peguam negara boleh datang ke Dewan dan menjawab kepada semua soalan-soalan undang-undang dan tak payahlah menteri menunggu masa dan semua memberi kepada jawapan-jawapan secara bertulis yang kadang-kadang lengkap dan tidak lengkap.

“Saya mencadangkan ini adalah cadangan teguran supaya kita menerima hakikat bahawa kuasa mendakwa ialah kuasa yang begitu besar dan kita tak mahu peguam negara kita dilihat sebagai persepsi tekanan politik,” katanya yang juga bekas menteri undang-undang.

Peluang terbaik untuk bentang

Dalam pada itu, Timbalan Setiausaha Agung DAP V Sivakumar berkata keadaan politik semasa adalah peluang terbalik untuk pihak kerajaan mahupun pembangkang untuk bekerjasama dem melaksanakan satu tanggungjawab penting dalam menutup kelompangan undang-undang yang amat memudaratkan negara.

Dalam kenyataan medianya, Ahli Parlimen Batu Gajah itu juga berkata demi kestabilan politik negara, Akta Anti Lompat Parti perlu diwujudkan dengan segera.

"Sejak sekian lama kita menghadapi kucar-kacir politik kerana terdapat dari kalangan wakil rakyat yang berpaling tadah.

"Ini mengakibatkan kerajaan yang dipilih oleh rakyat ditumbangkan oleh beberapa individu kerana kepentingan peribadi. Akhirnya mandat rakyat dipermainkan oleh ahli-ahli politik dengan pelbagai taktik kotor.

"Maka, undang-undang ini perlu digubal untuk mendapatkan semula keyakinan rakyat terhadap sistem demokrasi negara kita," katanya.

Tambahnya, Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan persekutuan dan PH yang ditandatangani di Parlimen akan membuka lembaran baru ke arah politik yang lebih matang dan menjurus kepada penggubalan undang-undang antilompat parti yang lama dinantikan. 

Lihat Komen
ADS